ADS 468x60

Ahad, 2 Oktober 2011

Iktibar Amanah Khalifah Umar Abdul Aziz

Definisi Amanah
Amanah berasal daripada perkataan Arab, amana, yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang dipercayai dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya tenteram, aman, selamat dan harmoni.
Mengabaikan amanah yang diberikan merupakan suatu kesalahan yang amat berat di sisi Islam sehinggakan ia tidak dapat ditebus sekalipun dengan pengorbanan seseorang yang berjuang pada jalan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Daripada Abdullah Bin Mas’ud, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Menyertai perang fisabilillah akan menghapus segala dosa kecuali amanah. Amanah itu ada dalam solat. Amanah juga ada dalam puasa. Amanah juga ada dalam percakapan. Maka amanah yang paling berat adalah menyimpan sesuatu yang telah diamanahkan”.
Sikap amanah juga telah disebut dalam Al-Quran sebagai asas utama pengambilan seseorang pekerja dan pengurus. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Salah seorang anak Nabi Syu’ib berkata:
“Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
                                                                                                                      (Al-Qasash: 26)

Iktibar Amanah Khalifah Umar Abdul Aziz
Salah satu contoh yang dapat dijadikan pengajaran ialah kisah khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang diceritakan oleh Amru Bin Muhajir. Pada suatu malam, ketika beliau didatangi oleh anaknya sendiri di pejabat khalifah, Umar terlebih dahulu berkata:
“Adakah kamu datang untuk urusan Muslimin atau urusan keluarga?”
Setelah anaknya menjawab untuk urusan keluarga, lantas Umar memadamkan lampu pejabatnya. Bila anaknya bertanya tentang tindakannya itu, Umar menjawab:
“Lampu ini adalah milik negara, sedangkan kamu datang untuk urusan keluarga”
Lalu Umar pun menyalakan lampu miliknya sendiri. Inilah ketinggian amanah pada diri khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam menjaga dan menguruskan harta kaum Muslimin.
Berdasarkan kisah tadi dan juga sumber-sumber yang lain, dapatlah disimpulkan bahawa amanah yang perlu kita jaga tidak hanya pada barangan yang kita simpan sahaja. Bahkan, dalam konteks pentadbiran dan pengurusan, terdapat beberapa amanah yang perlu kita beri perhatian yang sewajarnya iaitu:

  • Memenuhi keperluan asas kelayakan.
Setiap Muslim bertanggungjawab memenuhi asas kelayakan untuk mengurus sesuatu perkara. Dia tidak wajar menipu dan mengaku mempunyai kelayakan tertentu yang sebenarnya tidak dimilikinya.
  • Memenuhi jumlah masa kerja.
Dalam konteks masa kerja, setiap pekerja dan pengurus hendaklah memenuhi masa kerja yang telah diamanahkan kepadanya. Jika waktu kerja sudah ditentukan tempohnya, maka wajarlah ia melaksanakan kerjanya sepanjang tempoh tersebut. Sebaliknya jika suatu tugas yang tidak terikat dengan masa, tetapi perlu disiapkan segera, maka perlulah menyiapkan tugas tersebut sesegeranya.
  • Memenuhi tugas berdasarkan tahap yang dikehendaki.
Seseorang pekerja dan pengurus  hendaklah melaksanakan tugas berdasarkan ketetapan yang telah ditentukan oleh majikannya dengan sepenuh hati dan mempersembahkan hasil kerja yang terbaik. 
  • Menggunakan kemudahan kerja untuk tujuan yang berkaitan sahaja.
Pengurus yang beramanah tidak akan menggunakan segala kemudahan majikannya atau tempat kerjanya untuk tujuan selain daripada keperluan tugasnya kecuali setelah mendapat izin. 
  • Laporan yang telus lagi benar.
Laporan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan juga merupakan amanah dan perlu diucapkan atau direkodkan secara betul tanpa dipengaruhi emosi atau kepentingan lain. Antara lain perkataan laporan hendaklah bersih dan telus. Perbuatan menyembunyikan fakta dan rekod tertentu juga merupakan pengabaian terhadap amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada seseorang pekerja. Menyembunyikan fakta sebenar kepada majikan amat dilarang kerana, kadang kalanya ia boleh “membunuh” seseorang majikan.

Kesimpulan

Secara umumnya, terlalu banyak amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan kita. Sama ada sebagai pekerja, pengurus mahupun majikan. Kita hendaklah sentiasa ingat mengingati di antara kita bahawa apa jua bentuk amanah yang dipikul oleh kita, nescaya akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T di Padang Mahsyar kelak. Pecah amanah atau tidak berlaku amanah pastinya akan mengundang musibah, bukan sahaja terhadap diri kita, bahkan terhadap masyarakat dan negara umumnya.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.”
Abu Hurairah bertanya:
“Bagaimanakah yang dikatakan mensia-siakan amanah itu wahai Rasulullah?
Baginda menjawab:
Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya hari kiamat”.
                                                                                                         (Hadis riwayat Bukhari)




Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada persediaan pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia, (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.
                                                                                                                       (Al-Ahzab: 72)

0 komen:

Catat Ulasan