ADS 468x60

Isnin, 24 Oktober 2011

Superb Sundae Amal Maahad





Salam..uhuk2..batuk,penat,lelah semua ny ada..uhuk2..Akhirnya Futsal Amal (reunion) yang bermula pada 23/10/2011 Ahad telah melabuhkan tirai setelah refree meniup wisel penamat
pagi tadi selepas subuh..Kehadiran peserta lebih kurang dalam 20 + termasuk yang sedang
mengira..program sepatutnya bermula seawal 5.00 ptg namun kerana ahli amal ni banyak
karenah dan jarang bermusafir di kota bharu ini, maka terjadilah perbualan seperti berikut..

anonymous : "Assalamualaikum loh,mu dok manow?"..
penjawab tel : "aku sapa dah kat futsal sakni,tapi g ambek ore betar"..

anonymous : "pah,mana ore nyor??!! xdop ore pon..ke AKU SALAH TEMPAT NI?..
penjawab tel : betul dah kat lunde tu..acu kelih court so lg..
anonymous : Aku sero ak SALAH TEMPAT NI..AK DOK JALE DATO' LUNDE
NI..
penjawab tel : betul latuh..acu g kelih court so lg..
anonymous : ho beyeh2..
begitulah antara perbualan tel yang dirakam..namun perlulah dirahsiakan identiti orang yang bertanya itu agar tidak menjadi aib baginya..he2..jadi, futsal bermula pukul 5.30ptg..agak ramai yang hadir..sebenarnya, program ni juga disertai oleh bekas2 pelajar maahad yang menuntut di universiti lain selain daripada UIA PJ..



Semuanya bermain dengan penuh semangat, biar peluh bercucuran, akan kami ku lap peluh itu
sehingga kami habis main bola..??... +_+

Antara mereka yang hadir ialah perancang utama iaitu Atif yang sudah tidak asing lagi..Hu
saini yang semua orang sudah mengenalinya disebabkan popularitinya semakin meningkat..tak
lupa
juga PENGERUSI AMAL kita..Azim..Amatlah terharu kami pabila mengetahui beliau menaiki teksi ke gelanggang futsal dan nasibnya agak baik kerana menemui Atif di pertengahan jalan yang sedang menaiki motor..


main punya main,sampailah pukul 6.50 ptg kami berhenti maen dan kami pun bersalam-
salaman sambil mengucapkan selamat maju jaya antara satu sama lain..Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke rumah Enche Abdullah Fauzi seperti dalam tentatif yang kemudian
disusuli dengan solat Maghrib berjemaah..Alhamdulillah,dalam kesibukan kami bermain futsal, dapat juga kami menunaikan solat secara berjemaah..Namun amatlah mendukacitakan kami kerana di saat maghrib menjelma itu masih ada lagi manusia2 lain yang tak berhenti bermain
futsal..




Setelah kami selesai menunaikan kewajipan, kami dihidangkan dengan tazkirah ringkas selama 7 minit dalam halaqah..tazkirah diberikan oleh beberapa orang yang terpilih sahaja..Fuh,tazkirah padat tapi bermanfaat dan terkesan di hati..nak tahu apa isinya??
Hakikatnya tanyalah kepada yang memberi tazkirah..


Kemudian kami mempersiapkan diri, cucikan badan, kemas2 barang dan melakukan sedikit aktiviti memasak didapur untuk makan malam nanti...Sebenarnya kami tidaklah memasak namun hanya memanaskan lauk..namun untuk nampak gah sikit, kami pakai perkataan memasak..antara lauk yang dimasak adalah seperti berikut..

Sebenarnya,jurukamera tidak sempat merakamkan gambar2 lauk tersebut, justeru , blogger hanya mengambil gambar2 dari internet yang agak sama dengan lauk yang dimasak.. :)

namun dalam kesibukan memasak,kami tetap menunaikan kewajipan sebagai hamba ALLAH iaitu solat isyak secara berjemaah..dan tibalah masa yang dinantikan, kami maju setapak ke tingkat dua rumah untuk menonton bola sepak..yang paling unik sekali ialah, bukan sahaja
kami solat secara berjemaah, namun bola sepak juga kami dapat menonton secara berjemaah, hilai tawa masam masin telah menghidupkan lagi suasana bola sepak dikala ManU mengalami masalah ...tonton punya tonton,akhirnya bukan setakat kami masak gulai, malah MU juga turut digulaikan oleh ManC..nasib2..

Program diteruskan dengan jamuan makan malam bersama..Pagi esokannya,harapan kami yang begitu tulus untuk berqiamullail akhirnya tidak diizinkan oleh ALLAH kerana kami tidak diberi kesedaran untuk bangun ketika itu..I.ALLAH next time usaha untuk membuat qiamullail akan giat kami jalankan sama ada secara fardi atau jemaah..namun, disebalik, kekecewaan yang menimpa, ada satu perkara yang menarik perhatian blogger.

Kami semua bangun tepat pukul 5.45 pg dan siap sedia untuk solat berjemaah subuh di masjid..yang menjadi kehairanan blogger ialah tuhan telah mengejutkan kami awal sedikit sebelum subuh bagi memberi ruang kepada kami untuk bersiap dan solat jemaah di masjid..bagi blogger, solat subuh di masjid awal adalah dilihat mustahil bagi kita ini sekarang di rumah..nak kemasjid? subuh pon belum tentu bangun..

Alhamdulillah,dalam kepenatan kami beriadhah,tetap kami dapat solat subuh berjemaah di masjid..selepas subuh, kami membaca ma'thurat,halaqah quran dan tazkirah..

Program akhirnya berakhir dengan breakfast yang seberapa..Terima kasih kerana menjoin program..Semoga program ini diberkati dan menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mahu mengambil pengajaran..Sekian..

Jumaat, 21 Oktober 2011

Petikan Surat As-Syahid Syed Qutb Dari Penjara Kepada Adiknya, Hamidah Qutb


Adikku,
Di saat kita hanya berfikir untuk hidup bagi diri sendiri
Terasalah oleh kita bahawa kehidupan ini begitu sempit dan pendek
Hanya bermula dengan kelahiran kita, dan berakhir dengan kematian
Berangkat dari pertama kali kita digelarkan di atas bumi, dan kemudian kembali ke bumi lagi.

Tetapi adikku,
Jika hidup kita untuk aqidah dan untuk orang lain
Maka terasalah hidup ini begitu luas dan panjang
Ia lahir bersama kemanusiaan, dan tidak akan mati
Walau setelah ruh terlepas dari jasad ini, walau berpisah dengan bumi.

Kita akan merasa bahagia dan puas!
Hakikat umur kita berlipat ganda jauh melebihi jumlah angkanya
Walaupun pada hitungan tahun, usia kita kecil sahaja
Itulah kebahagiaan hakiki
Bukan kebahagiaan fantasi.

Dalam kehidupan seperti itu
Tergambarlah keuntungan yang kita peroleh sejak awal kelahiran kita
Dari hari ke hari
Dari masa ke masa
Dan seluruh umur kita
Keuntungan itu terasa dalam perasaan kita, pada setiap langkah kita.

Terasa betul bahawa hidup ini
Bukan sekadar berapa lama nafas ini keluar masuk dari tubuh kita
Bukan sekadar berapa banyak jumlah angka umur kita
Tapi hidup ini diukur dan dinilai dari kepuasan rohani yang dapat kita rasakan!

Inilah kenyataan yang dinamakan Realiti.
Bukan seperti imaginasinya kaum yang materialistik itu
Dan inilah hakikat hidup di atas segala hakikat yang mereka perkatakan

sumber : http://halwahati.wordpress.com/2011/03/25/nilai-kehidupan-2/

Selasa, 11 Oktober 2011

Pakaian, percakapan cerminan peribadi

Oleh Mohd Adid Ab Rahman


UMAT Islam diperintahkan Allah dan Rasul-Nya sentiasa menjaga maruah diri, keluarga, jiran dan masyarakat seluruhnya daripada perbuatan bercanggah ajaran Islam yang suci serta perkara mengundang kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah yang bermaksud: “Hai orang beriman pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)
Gambaran masyarakat Islam hari ini sungguh membimbangkan dengan corak kehidupan yang sudah renggang dari nilai Islam sebenar seperti cara berpakaian, pergaulan serta percakapan yang tidak mencerminkan ciri Islam. Semakin hari semakin bertambah tenat dan ini memerlukan usaha terancang serta kesungguhan semua pihak untuk menyekat gejala tidak sihat dari terus berleluasa. Mereka perlu dibimbing supaya kembali kepada ajaran Islam yang menggalakkan kita berbuat kebaikan dalam kehidupan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jangan kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baik kerana sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang berbuat baik.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)
Maruah seseorang dapat dinilai dalam tiga aspek iaitu cara berpakaian, percakapan dan pergaulan. Jika elok ketiga-tiga ini, maka dikatakan kita ada harga diri dan bermaruah pada pandangan masyarakat serta mulia di sisi Allah SWT.
Islam selalu menekankan soal berpakaian dan cara berpakaian turut digariskan supaya kelihatan sopan, tidak jarang menampakkan susuk badan, tidak menyerupai pakaian lelaki atau sebaliknya selain mengelak pakaian mempunyai simbol merujuk kepada agama lain.
Perkembangan fesyen tidak boleh dielak atau dinafikan tetapi umat Islam perlu bijak memilih fesyen yang sesuai mencerminkan keperibadian mereka sebagai Muslim yang mementingkan kebersihan, kemas dan menutup aurat.
Jika aurat didedahkan maka jatuh maruah seseorang itu, bukan satu kemegahan seperti tanggapan sesetengah orang.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya) supaya mereka mengingati-Nya (dan bersyukur).” (Surah Al-‘Araf, ayat 26)
Selain itu, Islam menyuruh kita berbicara atau bertutur dengan sopan seimbang tuntutan syarak. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik yang menampilkan kata-kata baik, lemah-lembut dan sopan dalam berinteraksi.
Sesiapa mendengarnya pasti akan berasa senang dan sejuk hati. Perkataan dikeluarkan jauh daripada sia-sia malah penuh dengan manfaat seperti menyeru ke arah kebenaran yang diperintahkan Allah. Orang yang menjaga lidahnya akan diredai Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada kebaikan dalam segala urusan yang mereka tempuhi melainkan menyeru ke arah kebenaran atau melakukan segala kebajikan ataupun mendamaikan di antara manusia bergaduh dan sesiapa melaksanakan demikian adalah untuk menuntut keredaan Allah, semoga Allah berikannya pahala yang berlipat ganda.” (Surah An-Nisa’, ayat 114)
Seseorang yang tidak dapat mengendalikan lidahnya seperti suka membuat fitnah, berbohong serta mencela, mencerminkan kerosakan hatinya dikuasai luapan nafsu dan bisikan syaitan. Orang seperti ini me
Dalam pergaulan sehari-hari kita perlu menjauhi hal boleh menyakiti hati orang lain. Membudayakan sikap dan tindakan yang boleh menyenangkan hati orang lain seharusnya menjadi amalan setiap Muslim.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang Islam adalah saudara bagi orang Islam yang lain, yang tidak boleh menzalimi antara satu sama lain, dan jangan mengabaikan pertolongan kepadanya dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya, Allah sentiasa menunaikan hajatnya, dan sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada bala atau sebarang kesusahan, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat dan sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Jenayah Akademik Aktivis Dakwah



“Insya Allah kalau kita bersusah payah dengan dakwah dan tolong agama Allah, nescaya Allah akan tolong kita”, kata seorang exco dakwah di sebuah kampus.

Kata-katanya itu sedap didengar, tetapi realitinya separuh benar separuh batil.

DULU-DULU
Dulu-dulu saya pernah membaca majalah sebuah gerakan dakwah yang kini sudah diharamkan. Ada sebuah artikel menceritakan bagaimana seorang siswi yang aktif berdakwah hingga tidak sempat membuat persiapan untuk peperiksaannya, telah bertawassul dengan nama mursyid jemaah beliau lalu tertidur di dewan peperiksaan. Sebaik sahaja siswi itu terjaga, kertas peperiksaannya sudah penuh dengan jawapan dan beliau mendapat keputusan yang cemerlang!

Itu kalau versi ‘hikayat menjadi’.

Bagi yang tidak menjadi, pernah di suatu era, ada aktivis dakwah yang menganggap kesanggupan menggagalkan diri dari pengajian atas nama dakwah adalah satu PENGORBANAN yang ditabik rakan sepasukan.

Kita tolong Allah, Allah akan tolong kita… mudah sahaja sifirnya.

Contoh-contoh ekstrim begitu adalah fenomena biasa di era 70′an dan 80′an. Era orang mencampak televisyen ke sungai kerana ‘membenci dunia’.


HARI INI

Namun hari ini, contoh begitu mungkin sudah tidak sebegitu biasa kita dengar. Perbuatan membuang pengajian atau pekerjaan kerana mahu berdakwah sudah jarang-jarang sekali sampai ke telinga kita. Akan tetapi, sikap yang berlegar pada mindset yang sama itu masih sering dilihat dalam catatan aktivis dakwah di kampus hingga ke hari semasa.

Dek kerana kerapnya saya berprogram bersama pelajar universiti, saya terus menerus mengesan masalah ini berlaku di sana sini. Bahawa ramai pelajar yang bersemangat dan aktif dengan dakwah, kecundang di bilik darjah. Kecundang di dewan kuliah.


Apakah golongan yang kecundang akademik hanya dari kelompok dakwah?

Tentu sahaja tidak.

Mereka yang lemah di bidang pengajian atau mungkin terus gagal, terdiri daripada mereka yang beridentitikan pelbagai. Mungkin yang mabuk bercinta, mungkin yang kaki gig, mungkin yang tiada sebab apa-apa sekali pun. Punca kemunduran akademik memang pelbagai. Malah saya tidak terkejut jika ada pelajar yang kecundang pengajian hanya disebabkan oleh cuaca!

Tetapi apa yang ingin diperbahaskan kali ini adalah soal hubung kait aktiviti dakwah dengan aktiviti kuliah.


‘ESCAPISM’

Kenapa suka berdakwah tetapi lesu di bilik kuliah?

Di suatu ketika, saya pernah menyeru anak muda aktivis dakwah supaya mencari keseronokan di dalam mengerjakan amal Islami. Cari nilai untuk menyalakan KEINGINAN YANG MEMBARA. Jangan hanya bergantung pada soal kewajipan, tekanan suasana dan mengikut trend semata. Dakwah itu mesti inside-out. Ia harus datang dari kepercayaan diri bahawa setiap satu tugasan dakwah, menambah makna dan nilai dalam hidup.

Tetapi dalam masa yang sama, keseronokan dakwah itu jugalah yang kemudiannya menjadi salah satu sebab mengapa aktivis dakwah di kampus hilang minat dan tumpuan pada pelajaran. Mereka bertemu dengan kepuasan dan keinginan di dalam dakwah, tetapi tidak di bilik kuliah.

Sama sahaja… sama ada pelajar di bidang pengajian Islam, mahu pun sains atau undang-undang, ia boleh terjadi. Penyakit hilang minat dan keghairahan terhadap mata pelajaran di bilik kuliah sering berlaku.


Dakwah menjadi tempat mahasiswa dan mahasiswi ini melarikan diri dari tekanan, kebosanan dan segala perasaan negatif yang dialami semasa menghadiri kuliah, tutorial dan menyiapkan assignment. Segala perasaan yang tidak seronok lagi merimaskan itu, dapat dilupakan seketika semasa hadir ke dalam usrah, tamrin, ceramah, malah demonstrasi.

Bukan sahaja program dakwah harakiyyah, malah sebahagian pelajar lebih konsisten dan hadir dengan penuh minat ke kelas-kelas menadah kitab dan pengajian tidak formal tetapi mengabaikan kelas, peperiksaan dan tidak endah pada kemerosotan keputusan peperiksaan.


ALASAN

Melebihkan dakwah mengatasi pelajaran boleh berlaku atas sebab yang pelbagai.

“Ana tahu… dah duduk di universiti ni, mana ada yang lebih penting selain pelajaran. Tapi entahlah… macam dah tak ada mood nak study!”, kata seorang pelajar.

Alhamdulillah… biar pun tindakannya membelakangkan akademik itu salah, tetapi sekurang-kurangnya beliau mengakuinya. Menyedari bahawa dirinya sedang berdepan dengan masalah. Mudah-mudahan lebih jelas jalan untuk keluar dari kesulitan ini.

Tetapi, kebimbangan itu datang apabila pelajar-pelajar yang aktif dengan dakwah membelakangkan usaha dan ikhtiarnya di dalam pelajaran dengan kepercayaan yang salah. Kepercayaan yang disangkanya sebagai jalan beragama.


MENOLAK ‘ACUH TIDAK ACUH’

“Abang nak makan ayam masak merah”, kata seorang suami kepada isterinya.

Lalu si isteri ke dapur, digorengnya ayam, ditumisnya sos yang merah, dicampur keduanya dan dihidangkan di dalam pinggan percuma semasa membeli ubat gigi kotak besar.

“Suprani, bapak mahu makan ayam masak merah”, kata lelaki yang sama itu, kepada pembantu rumahnya.
Lalu si Suprani pergi ke dapur, digoreng ayam, dibuat kuahnya seelok mungkin, ditabur pula dengan daun sup, dihias dengan bawang besar, cili belah empat kembang bunga, dan dihidang di dalam pinggan Pyrex bersama nasi panas.


Agak-agaknya, tanpa perlu berbahas dan berdebat, kita sedia maklum yang tentu sahaja si lelaki itu tadi lebih berminat untuk makan ayam masa merah hasil masakan Suprani berbanding isterinya sendiri. Dua-dua ayam masak merah, tetapi ayam masak merah si isteri itu acuh tak acuh. Cincai kata sesetengah orang. Manakala ayam masak merah si pembantu rumah, biar pun yang memasaknya adalah pembantu rumah, tetapi kesungguhannya memasak menyebabkan lelaki itu lebih teruja untuk mencubanya.
Sifirnya mudah.

Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar, bagai melepaskan batuk di tangga. Dan sebelum kita sesama manusia lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih Memandang hasil kerja dan ibadah hamba-Nya yang dilakukan secara yang terbaik. Optimum.

Itqan.

Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendakhabl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!

Maka, bersifat ala kadar dalam menerima keputusan peperiksaan justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan pengajian… bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam.

Lupakah kita kepada firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau ambil bekerja adalah orang yang mempunyai kekuatan lagi amanah” [Al-Qasas 28 : 26]
Kesempurnaan pada kelayakan seseorang yang ingin diberi tugasan adalah gabung jalin yang kemas di antara integriti dan kompetensi. Bukan sahaja mempunyai kualiti akhlaq malah memiliki kemahiran, ilmu pengetahuan dan segala kekuatan yang diperlukan untuk sebuah tugasan.

Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam.



KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUKAN SEGALANYA

Setuju. Saya setuju 100%.

Sebab itu saya tidak pernah mengajak kita mengukur kecemerlangan hanya berpandukan keputusan peperiksaan. Ada banyak faktor yang mempengaruhi keputusan peperiksaan, biar pun selalunya ia berpihak kepada yang tekun berusaha.

Kecemerlangan yang diperlukan ialah pada komitmen pelajar yang da’ie, menempuh proses pembelajaran, dan bukan hanya berorientasikan output. Maksud saya, sama ada seorang pelajar itu hadir ke kelas, mengikuti kuliah, membuat kajian, menulis assignment… itulah sebenar-benarnya penentu kecemerlangan. Segala proses itu penting kerana ia merupakanlatihan sebenar kepada pemikiran dan daya ilmiah seorang pelajar. Di dalam kelaslah dia belajar berfikiran kritis, belajar bertemu dengan pandangan-pandangan yang berbeza, belajar bersoal jawab, belajar bertanya dan belajar menjawab… iaitu segala-galanya yang di kemudian hari menjadi asas terpenting untuk memimpin dan menerajui masyarakat.

Dan sudah semestinya, jika kelas dihadiri, kajian dibuat, menulis assignment diselesaikan, sedikit sebanyak ia akan menghasilkan natijah yang bagus di akhir musim peperiksaan.

Tetapi kalau kita berhasil menjawab keputusan peperiksaan hanya kerana ‘bernasib baik’ apabila soalan dihafal secara last minute, tetapi tidak ke kelas, tidak mengikuti PROSES pembelajaran, maka segala-galanya tidak ke mana. Lantas segenggam ijazah pun belum tentu ada nilainya!

Pendakwah yang mengkhianati proses pembelajaran semasa di alam menara gading, mereka amat berpotensi untuk masuk ke masyarakat dengan kualiti kepimpinan yang lemah… ekoran pemikiran tumpul yang tidak diasah semasa di alam belajar!


AKIBAT LEMAH AKADEMIK

Kadang-kadang kita menganggap akademik hanya sebagai wasilah. Sekadar tiket untuk memenangi kepercayaan masyarakat. Seumpama lesen.

Tetapi kita sering lupa, lemahnya penguasaan diri terhadap ilmu-ilmu di kelas akan memberikan implikasi yang buruk di masa hadapan… bukan hanya semasa alam pekerjaan bahkan boleh melarat hingga ke Akhirat.


Syariatullah

Pelajar pengajian Islam yang tidak menguasai pengajiannya akibat lemah tahap pembelajaran akan terdedah kepada jenayah di masa depan.

“Ustaz, apa hukumnya zakat KWSP?”, tanya seorang jemaah di surau.

“Alamak… itulah benda yang pensyarah bincangkan tapi aku tak pergi kelas masa tu!” rungut si ustaz di dalam hatinya.

“Err… saya rasa tak payah kot!”, jawab si ustaz ala-ala mujtahid.

Tidakkah perbuatan itu suatu pengkhianatan? Memberikan panduan muamalat yang salah kepada masyarakat, mengingkari Syariat Allah SWT lantaran kecuaian dirinya sendiri semasa di alam pembelajaran. Semasa belajar sudah biasa tak buat homework, bila berceramah pun tak buat homework.

Itu jenayah terhadap Syariatullah.


Sunnatullah

“Err, pesakit diabetik ni nak suntik 1 unit atau 10 unit atau 100 unit insulin ya?”, seorang doktor muda berteka-teki di dalam dirinya.
Akibat kemalasannya terhadap kelas pengajian, atau belajar secara ala kadar, beliau menyuntik pesakitnya dengan 100 unit insulin sedangkan peraturan tubuh badan yang ditentukan Allah SWT hanyalah pada kadar 6 ke 10 unit.

Pesakit mati mengejut akibat hipoglesimik [8].

Berdosa atau tidak? Jenayah atau tidak?

Dosa terbit bukan hanya kerana melanggar hukum Syariat tetapi juga hukum Sains. Seorang ustaz yang tidak berkompetensi, sama sahaja dengan seorang doktor, jurutera, atau apa sahaja pekerjaan profesional yang tidak berkompetensi.

Mencetus mudarat..

Maka ala kadar dalam menguasai bidang pengajian masing-masing bukan sekadar masalah sikap yang biasa. Ia mampu membunuh!

Ke mana anda mahu membawa dakwah jika duduk di tengah masyarakat sebagai ustaz yang tiada amanah ilmiah atau doktor yang tiada amanah yang sama?


ALLAH MESTI TOLONG

Akhirnya sampai kita kepada alasan paling biasa.

Kita manusia biasa, tetapi sering mengharapkan benda-benda yang luar biasa.

“Kalau kita tolong agama Allah, mesti Allah akan tolong kita!”, yakin benar seorang aktivis dakwah kampus berkata begitu.

Cuba perhatikan firman Allah SWT:

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” 
[Al-Baqarah 2: 282]

Allah SWT berjanji akan membantu.

Tetapi syarat asasnya adalah TAQWA.

TAQWA itu adalah kepatuhan yang menyeluruh terhadap peraturan Allah SWT… meliputi Syariatullah dan Sunnatullah. Ia telah pun saya jelaskan dengan panjang lebar semasa memperkatakan tentang kualiti Muslim yang mesti bukan sahaja SYARIATIC (komited dengan Syariatullah) malah SCIENTIFIC (komited dengan Sunnatullah).

Jika kita baca sejarah perjuangan Rasulullah SAW, baginda tidak pernah mengambil jalan mudah memperalatkan statusnya sebagai seorang Rasul dan pejuang kebenaran untuk melengah-lengahkan persediaan. Tidak pernah baginda berkata “kalau Allah yang perintahkan aku berjuang, mesti Allah akan tolong menangkan aku!” Tidak sama sekali.

Biar pun sehimpun janji dikurniakan Allah bahawa kebenaran akan mengalahkan kebatilan, Baginda SAW sentiasa mengambil asbab kemenangan secara optimum.

Jika dianalisa peristiwa Hijrah, Baginda SAW telah mengatur sehebat-hebat strategi dan persiapakan untuk menjayakannya. Begitu juga dalam perang-perang yang lain. Strategi yang pada hari ini layak digelar sebagai SAINS KETENTERAAN.

Termasuk juga dalam soal pentadbiran, pengurusan dan kerja seharian. Baginda SAW tidak pernah memalaskan diri dalam ikhtiar dan usaha hanya kerana keyakinan bahawa “Allah bersama kita!”.

Gambar hiasan

Tetapi aktivis dakwah hari ini ramai yang mudah tersasar.

Mereka tanpa segan silu dan malu, merengek-rengek meminta kemenangan sedangkan ikhtiarnya tidak seberapa. Hanya kerana Allah menjanjikan kemenangan bagi pihak yang memperjuangkan kebenaran, mereka melengahkan usaha, tidak seperti orang tidak berTuhan yang tiada janji kemenangan! Pejuang kebatilan melakukan sepenuh daya upaya mereka untuk perjuangan mereka… kesungguhan yang sepatutnya menjadi isi dan kulit manusia berTuhan seperti kita.


BERLATIH MENGURUSKAN REALITI

Sesungguhnya aktivis dakwah di kampus yang gagal menguruskan pengajian di samping tugasan dakwah… mungkin bakal menjadi aktivis yang turut gagal apabila keluar dari kampus.

Tahun 2 pengajian jauh lebih sibuk dari tahun 1.

Tahun akhir jauh lebih sibuk dari tahun-tahun yang sebelumnya.

Bekerja sebelum pengesahan jawatan jauh lebih sibuk dari tahun akhir pengajian.

Bekerja selepas pengesahan jawatan akan disibukkan pula dengan alam berumahtangga. Dari satu emak satu bapa, menjadi dua emak dua bapa. Dari satu kelompok sepupu menjadi dua kelompok sepupu. Dari 5 jemputan kenduri semasa cuti bertambah menjadi 10… semua itu akan berterusan.

Tatkala komitmen semakin reda, jantung pula sudah lemah, darah sudah bertekanan tinggi, urat dan sendi sudah tidak sihat lagi.


TAMRIN DISIPLIN

Sesungguhnya keupayaan seorang pelajar menguruskan akademiknya adalah TAMRIN yang paling penting untuk menghasilkan kualiti pengurusan realiti yang diperlukan apabila pelajar ini meninggalkan alam pengajian.

TAMRIN itu adalah TAMRIN DISIPLIN. Latihan mendisiplinkan diri iaitu berusaha untuk mengawal diri agar komited melakukan perkara yang kita tidak suka, demi meraih apa yang kita suka, suatu hari nanti. Di samping beroleh keseronokan sebagai momentum di dalam dakwah, jangan lupa bahawa ada perkara tidak seronok yang perlu kita pelihara sebaiknya.

“Kamu diwajibkan berperang sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya” [Al-Baqarah 2: 216]

Mungkin di alam TAMRIN akademik, bilik kuliah adalah medan perang yang kamu benci… padahal ia ditentukan Allah sebagai KEBAIKAN buat dirimu.

Berdisiplinlah!

p/s: pelajar yang enggan memikul amanah dakwah dengan alasan kesibukan akademik juga harus banyak berkoreksi dan memuhasabah diri…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ahad, 2 Oktober 2011

Iktibar Amanah Khalifah Umar Abdul Aziz

Definisi Amanah
Amanah berasal daripada perkataan Arab, amana, yang bermaksud tenteram, aman, selamat dan harmoni. Dalam konteks akhlak, amanah ialah menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri seseorang dengan melaksanakan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Amanah dengan kata lain ialah tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang dipercayai dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya. Apabila tanggungjawab itu ditunaikan dan amanahnya itu dihargai, maka orang yang menerima dan melaksanakannya mendapati dirinya tenteram, aman, selamat dan harmoni.
Mengabaikan amanah yang diberikan merupakan suatu kesalahan yang amat berat di sisi Islam sehinggakan ia tidak dapat ditebus sekalipun dengan pengorbanan seseorang yang berjuang pada jalan Allah S.W.T. Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Daripada Abdullah Bin Mas’ud, Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

“Menyertai perang fisabilillah akan menghapus segala dosa kecuali amanah. Amanah itu ada dalam solat. Amanah juga ada dalam puasa. Amanah juga ada dalam percakapan. Maka amanah yang paling berat adalah menyimpan sesuatu yang telah diamanahkan”.
Sikap amanah juga telah disebut dalam Al-Quran sebagai asas utama pengambilan seseorang pekerja dan pengurus. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Salah seorang anak Nabi Syu’ib berkata:
“Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.
                                                                                                                      (Al-Qasash: 26)

Iktibar Amanah Khalifah Umar Abdul Aziz
Salah satu contoh yang dapat dijadikan pengajaran ialah kisah khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang diceritakan oleh Amru Bin Muhajir. Pada suatu malam, ketika beliau didatangi oleh anaknya sendiri di pejabat khalifah, Umar terlebih dahulu berkata:
“Adakah kamu datang untuk urusan Muslimin atau urusan keluarga?”
Setelah anaknya menjawab untuk urusan keluarga, lantas Umar memadamkan lampu pejabatnya. Bila anaknya bertanya tentang tindakannya itu, Umar menjawab:
“Lampu ini adalah milik negara, sedangkan kamu datang untuk urusan keluarga”
Lalu Umar pun menyalakan lampu miliknya sendiri. Inilah ketinggian amanah pada diri khalifah Umar Bin Abdul Aziz dalam menjaga dan menguruskan harta kaum Muslimin.
Berdasarkan kisah tadi dan juga sumber-sumber yang lain, dapatlah disimpulkan bahawa amanah yang perlu kita jaga tidak hanya pada barangan yang kita simpan sahaja. Bahkan, dalam konteks pentadbiran dan pengurusan, terdapat beberapa amanah yang perlu kita beri perhatian yang sewajarnya iaitu:

  • Memenuhi keperluan asas kelayakan.
Setiap Muslim bertanggungjawab memenuhi asas kelayakan untuk mengurus sesuatu perkara. Dia tidak wajar menipu dan mengaku mempunyai kelayakan tertentu yang sebenarnya tidak dimilikinya.
  • Memenuhi jumlah masa kerja.
Dalam konteks masa kerja, setiap pekerja dan pengurus hendaklah memenuhi masa kerja yang telah diamanahkan kepadanya. Jika waktu kerja sudah ditentukan tempohnya, maka wajarlah ia melaksanakan kerjanya sepanjang tempoh tersebut. Sebaliknya jika suatu tugas yang tidak terikat dengan masa, tetapi perlu disiapkan segera, maka perlulah menyiapkan tugas tersebut sesegeranya.
  • Memenuhi tugas berdasarkan tahap yang dikehendaki.
Seseorang pekerja dan pengurus  hendaklah melaksanakan tugas berdasarkan ketetapan yang telah ditentukan oleh majikannya dengan sepenuh hati dan mempersembahkan hasil kerja yang terbaik. 
  • Menggunakan kemudahan kerja untuk tujuan yang berkaitan sahaja.
Pengurus yang beramanah tidak akan menggunakan segala kemudahan majikannya atau tempat kerjanya untuk tujuan selain daripada keperluan tugasnya kecuali setelah mendapat izin. 
  • Laporan yang telus lagi benar.
Laporan, sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan juga merupakan amanah dan perlu diucapkan atau direkodkan secara betul tanpa dipengaruhi emosi atau kepentingan lain. Antara lain perkataan laporan hendaklah bersih dan telus. Perbuatan menyembunyikan fakta dan rekod tertentu juga merupakan pengabaian terhadap amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada seseorang pekerja. Menyembunyikan fakta sebenar kepada majikan amat dilarang kerana, kadang kalanya ia boleh “membunuh” seseorang majikan.

Kesimpulan

Secara umumnya, terlalu banyak amanah yang perlu dilaksanakan dalam kehidupan kita. Sama ada sebagai pekerja, pengurus mahupun majikan. Kita hendaklah sentiasa ingat mengingati di antara kita bahawa apa jua bentuk amanah yang dipikul oleh kita, nescaya akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T di Padang Mahsyar kelak. Pecah amanah atau tidak berlaku amanah pastinya akan mengundang musibah, bukan sahaja terhadap diri kita, bahkan terhadap masyarakat dan negara umumnya.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.”
Abu Hurairah bertanya:
“Bagaimanakah yang dikatakan mensia-siakan amanah itu wahai Rasulullah?
Baginda menjawab:
Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya hari kiamat”.
                                                                                                         (Hadis riwayat Bukhari)




Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada persediaan pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia, (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan”.
                                                                                                                       (Al-Ahzab: 72)