ADS 468x60

Rabu, 18 Januari 2012

Hukum Cabutan Bertuah & Bentuk Peraduan, Pertandingan Moden


Hukum Cabutan Bertuah & Bentuk Peraduan,
Pertandingan Moden
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
piala dunia?Apa hukum cabutan bertuah? Adakah ianya judi?. Soalan sebegini agak banyak menerjah kotak email dan sistem sms 33221 saya. Cabutan bertuah mempunyai pelbagai bentuk dan jenis, ada yang halal dan ada yang haram. Dalam tulisan ringkas ini saya cuba dedahkan beberapa bentuk dan hukum setiap satunya.
Namun sebelum kita melihat bentuk-bentuk semasa cabutan bertuah, jika dilihat dari sudut hukum kes atau isu cabutan bertuah ini tergolong dalam perbincangan ‘al-musabaqat' atau ‘pertandingan'. Namun jika tidak kena caranya, dengan mudah ia akan jatuh dalam masalah judi ataupun gharar.
Dalam masalah judi, keputusan majlis Fiqh Antarabangsa "Organization of the Islamic Conference, Islamic Fiqh Academy" dalam sidangnya ke 14 pada 8 - 13 ZulQaedah 1423 H (11-16 Jan 2003) yang lalu telah memutuskan (keputusan nombor 127 (14/1), unsur perjudian dalam sebarang peraduan, permainan dan pertandingan dalam dua bentuk seperti berikut :-
1) Disebabkan oleh jenis permainan : Iaitu apabila ia bersifat permainan yang hanya bergantung kepada tuah (game of luck) untuk menang serta memerlukan bayaran untuk menyertainya .
2) Disebabkan oleh hadiahnya : iaitu apabila hadiahnya diambil dari kumpulan wang penyertaan semua peserta.
Para ulama kontemporari dalam persidangan fiqh di atas mentakrifkan judi (al-qimar) mengandungi dua unsur utama :-
* Setiap permainan yang mensyaratkan mereka yang kalah untuk membayar sesuatu.
* Mengambil harta orang lain dalam situasi 'mukhatarah' atau risiko samada akan dapat atau tidak dapat.
* Disebutkan oleh ulama silam sebagai :-
هو كل لعب تردد بين غرم وغنم
Ertinya : "Iaitu setiap permainan, peraduan, pertandingan yang tidak pasti akan kerugian atau untung" ( Hasyiah Al-Bajuri, 2/521)
Disebutkan :-
إذا كانت الجوائز من المتسابقين فإنها تعد حراماً لانها من باب القمار ولأن كل واحد من المتسابقين لا يخلو إما أن يغنم أو يغرم , ولا يخفى من أكل أموال الناس بالباطل وإيقاع العداوة والبغضاء
Ertinya : Dan jika hadiah pertandingan atau permainan itu datang dari kumpulan yuran peserta, maka ia adalah haram kerana ia tergolong dalam bab judi nasib "qimar", dan kerana setiap peserta tidak sunyi dari peluang untuk meraih untung atau menanggung rugi, justeru amat jelas ia dari kategori memakan harta orang lain secara salah, membenihkan permusuhan dan perengkaran"  (Al-Mughni, Ibn Qudamah )
Berdasarkan keputusan di atas, berikut adalah bentuk cabutan bertuah yang jatuh dalam kategori judi :-
1) Mereka yang ingin menyertai cabutan mestilah membayar yuran tertentu secara langsung iaitu : -
a- Secara tunai iaitu berdepan : iaitu dengan memberikan RM xxx kepada penganjur secara tunai bagi membolehkan penyertaan. Tanpa mengira sama ada yurannya sama atau berbeza. Hukumnya tetap haram. (Al-Badai' Al-Sonai', Al-Kasani)
b- Secara tunai melalui alat telekomunikasi : bayaran dibuat disekalikan dengan kos telefon, internet, sms dan lain-lain. Sebagai contoh kos biasa bagi satu minit bercakap di talian telefon adalah 15 sen, tetapi bagi mereka yang ingin menyertai cabutan ini, satu nombor telefon khas akan diberikan dan kos 1 minit juga lebih tinggi, iaitu RM 1. Kadar baru ini diberitahu secara jelas di awal kontrak.
c- Syarikat menganjurkan makan malam dengan bayaran RM 100 yuran bagi seseiapa yang ingin menyertai cabutan bertuah. Bagi sesiapa yang tidak ingin menyertai cabutan bertuah, yuran hanyalah RM 90. Cabutan bertuah sebegini adalah judi.
d- Menang cabutan bertuah dari Hong Kong atau Macau dan lain-lain ; Peserta menerima SMS mendakwa menerima hadiah cabutan bertuah wang tunai mencecah RM50,000 yang diadakan di luar negara. Peserta bagaimanapun, diminta membayar yuran pemindahan wang ke dalam akaun tertentu.
Hukum : haram kerana judi dan gharar, malah telah dilaporkan banyak kes penipuan menggunakan cara ini.


2) Mereka yang ingin menyertai cabutan perlu membayar yuran secara tidak langsung iaitu:-
Yuran dimasukkan dalam harga pembelian barangan biasa. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi dari biasa. Sebagai contoh, pihak pasaraya mengadakan cabutan bertuah kereta MyVi. Bagi sesiapa yang ingin menyertainya mestilah membeli barangan tertentu yang telah dinaikkan harganya dari harga biasa. Ia jatuh dalam kategori judi kerana bayaran lebihan itu dianggap sebagai yuran penyertaan.
Jenis Cabutan Yang Halal
Semua jenis cabutan bertuah yang tidak memerlukan sebarang bayaran untuk menyertainya adalah halal dan harus. Ia adalah disepakati oleh ulama kerana melihatnya sebagai pemberian hadiah biasa dari satu pihak (yang memberi dan menawarkan). Tiada sebarang pihak aakan menanggung kerugian walaupun tidak terpilih, tatkala itu tiada timbul isu memakan harta orang lain secara batil (salah) yang diharamkan oleh Allah swt. (Syarah Al-Zarkasyi Ala Mukhtasar Al-Hiraqi, 4/320 )  
Sebagai contoh :
a- Cabutan Bertuah Khas Untuk Pekerja : Semua pekerja layak untuk memasuki peraduan yang dianjurkan syarikat, hadiah istimewa disediakan. Tiada sebarang bayaran dikenakan.
Hukum : Ia adalah halal.
b- Cabutan di Majlis Makan Malam : Syarikat menganjurkan makan malam, dan semua kakitangan dijemput hadir tanpa sebarang bayaran. Ketika itu, cabutan bertuah dibuat sama ada cabutan bagi nombor meja, nombor kakitangan ataupun secara melekatkan tanda tertentu di bawah kerusi.
Hukum : Semuanya adalah halal dan tiada sebarang pihak menanggung kerugian.
c- Cabutan bertuah di pasaraya : Terdapat beberapa buah pasaraya yang melaksanakan promosi dengan menawarkan mana-mana pelanggan yang membeli barangan berharga lebih dari RM100 dalam satu resit, pelanggan tersebut akan diberikan borang untuk penyertaan cabutan bertuah, HARGA BARANGAN PULA KEKAL PADA HARGA BIASA.
Hukum : Cabutan ini adalah halal dan tiada unsur perjudian kerana pelanggan tiada kerugian apa-apa dan semua wangnya bukan untuk menyertai pertadningan cabutan ini tetapi untuk membeli barangan, dan demikian juga pihak pasaraya. Pelanggan membeli barangan pada harga asal dan tiada sebarang yuran dikenakan.
Permainan @ Peraduan Moden
Sebentar tadi kita telah membicarakan perihal cabutan bertuah yang haram dan yang halal. Terdapat beberapa ulama yang cuba menganggap permainan atau pertandingan yang beserta hadiah sebagai 'Wa'd Bi Tabarru' atau janji untuk bersedeqah, namun majoriti ulama tidak bersetuju dengan pandangan ini dan mengklasfifikasikannya sebagai aqadmu'awadat atau kontrak komersial untuk meraih pemilikan dan untung. ( Al-Furusiah, Ibn Qayyim, hlm76)
Dengan berubahnya klasifikasi ini semua hukum akan berubah bentuknya. Di kesempatan ini saya akan menyentuh dengan ringkas beberapa jenis cara pemainan yang boleh dijumpai dalam masyarakat kita, ia seperti berikut :-
1) Dua orang bermain tenis, namun hanya satu pihak meletakkan hadiah sebanyak RM200. Siapa menang dia akan memiliki hadiah itu.
Hukum : Para ulama berbeza pandangan dalam bab ini kerana hanya satu pihak yang mengeluarkan. Fatwa ulama seperti berikut ;-
a- Harus : Demikian pendapat majoriti ulama dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.
b- Haram : Ia adalah pendapat mazhab Maliki kerana wang RM 200 telah keluar dari miliknya dan jika ia menang, wang itu akan kembali kepadanya atas nama 'qimar'.
Pendapat yang lebih kuat (rajih) :  adalah pendapat pertama yag mengharuskannya kerana wang RM200 itu adalah miliknya dan pihak kedua tidak terlibat dalam memberi sebarang wang, dengan sebab itu pihak kedua tidak terdedah kepada sebarang risiko. Dengan demikian, wang RM200 tadi dikira seperti hadiah biasa sahaja dan bukan judi.
2) Dua orang bermain tenis, kedua-duanya mengeluarkan wang lalu diletakkan sebagai hadiahnya.
Para ulama terbahagi kepada tiga kumpulan dalam hal ini. Namun majoriti ulama termasuk Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali serta Majlis Fiqh Dunia memfatwakannya sebagai HARAM. Malah Ibn Rusyd Al-Hafid menyebut telah terdapat ijma' tentang pengharamannya. (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/228 ; Al-Kafi, Ibn Abd Barr, 1/489 ; Al-Umm, Al-Syafie, 3/230 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93; Al-Jami', Ibn Rusyd, hlm 336)

3) Dua orang sedang bermain tenis, mereka bersetuju siapa yang kalah perlu membayar harga sewaan gelanggan tenis.
Hal seperti ini telah wujud sejak zaman dahulu kala lagi, hingga ia dicatatkan contoh sepertinya oleh ulama silam dengan kata :-
لا يجوز لأنه في معنى القمار نحو أن يقول أحدهما لصاحبه : إن سبقتني فلك عليّ كذا , وإن سبقتك فلي عليه كذا فقبل الآخر
Ertinya : "Tidak harus ( haram) kerana terdapat dalamnya erti atau unsur judi seumpama seorang berkata kepada rakannya : Sekiranya engkau tewaskan aku maka bagiku hadiah itu dariku, dan jika aku menewaskanmu, mestilah engkau memberinya kepadaku, lalu kedua-duanya bersetuju"( Badai As-Sonaie; Al-Kasani)
Hukum : Ia adalah judi walaupun ada unsur usaha dari kedua belah pihak dan bukan permainan nasib semata. Unsur judinya datang dari sudut hadiah, seolah-olah kedua-dua pihak meletakkan sejumlah wang untuk membyaar sewa gelanggang, hanya yang kalah akan terkena. Ia tetap judi walaupun kedua-dua pihak redha meredhainya. Tiada redha dalam perihal haram.
Namun jika hanya salah seorang yang menjanjikan hadiah, seorang lagi tidak, hukumnya berubah menjadi harus atau halal. Ia adalah pendapat mazhab Al-Hanafi, Syafie dan Hanbali (Tabyin Al-Haqaiq, Az-Zaila'ie, 6/227 ; Qawanin Al-Ahkam, Ibn Juzai, hlm 177 ; Hasyiah Al-Qalyubi, 4/266 ; Al-Insaf, Al-Mardawi, 6/93 )   
4) Dua orang atau lebih sedang bertanding futsal, kumpulan yang kalah disyaratkan belanja makan kumpulan yang menang.
Hukum : Ia juga perjudian dan sama bentuknya dengan bentuk nombor tiga di atas.
5) Beberapa kumpulan ingin menganjurkan pertandingan bola sepak, namun tiada sebarang sumbangan hadiah dan tiada tajaan diperoleh. Natijahnya mereka menggunakan wang terkumpul dari yuran penyertaan sebagai hadiah atau untuk membeli hadiah.
Hukum : Ia adalah judi walaupun permainan bola sepak bukannya permainan yang bergantung kepada nasib semata-mata. Namun unsur judinya datang dari bahagian kedua iaitu hadiah yang wang terkumpul semua peserta. Ini menjadikan semua kumpulan terdedah kepada untung dan rugi. Tatkala itu Majlis Fiqh Dunia menganggapnya sebagai perjudian. Demikian juga jika ditinjau dari perspektif empat mazhab.
Tetapi jika hadiah datang dari sumbangan mana-mana pihak yang tidak menyertai pertandingan itu, permainan tadi menjadi halal secara sepakat ulama.
Ada yang bertanya, bagaimana jika semua kumpulan diberi hadiah saguhati?. Jawabnya, ia tetap judi sekiranya pemenang utama mendapat hadiah yang berbeza nilainya. Namun jika semua hadiah sama nilainya tanpa kira yang menang dan yang tewas. Ia menjadi harus dan bukan lagi judi. Tatkala itu pemenang hanya mendapat keseronokan dan kepuasan perasaan sahaja.
Ringkasnya para ulama bersepakat bahawa setiap permainan yang memerlukan penyertaan yuran untuk bermain dan hadiahnya diambil dari wang itu, semuanya adalah judi tanpa mengira sama ada permainan itu bersifat ilmiah, minda dan lain-lain.
6)        Membeli surat khabar untuk menyertai pertandingan teka bola dan sebagainya.
Hukum : Majlis Fatwa ulama Mekah dan Madinah memfatwkannya sebagai harus. Demikian juga pandangan terkuat menurut beberapa ulama kontemporari seeprti Prof Dr Uthman Syabir. (Ahkam Al-Musabaqat Al-Mu'asiroh, Majma Fiqh Islami, Ke 14, tahun 2003 )  
Keharusan ini adalah kerana si pembeli tidak rugi apa-apa kerana ia beroleh manfaat surta khabar, kecualilah jika dibelinya surat khabar sehingga 10 naskhah hanya kerana ingin menyertainya banyak-banyak. Tatkala itu hukum bertukar menjadi haram dan judi.
Keismpulannya, hadiah pertandingan yang dibenarkan dalam Islam hanyalah jika :-

1. Hadiah di dermakan oleh pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan. Manakala wang yuran peserta hanya untuk kegunaan pentadbiran pertandingan.

2. Hadiah diambil daripada sebahagian yuran peserta sahaja, manakala yang lain digunakan untuk kegunaan pentadbiran pertandingan
Semoga artikel ringkas ini dapat menyedarkan umat Islam di sekeliling akan keterlibatan mereka dalam perjudian tanpa disangka.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Khamis, 22 Disember 2011

Call Of Duty

Gambar ini mungkin seperti seorang yang sedang duduk menunggu bas..

“Arggggh!! Boringweh..” lama gitumo cuti…Pernah terkeluarkah ayat-ayat tersebut dari mulut anda?.. Setelah hari berganti hari, jubah berganti jubah, baju berganti baju, sedar tak sedar dah dekat 3 bulan student UIA PJ bercuti ( yang ambek sem 2 dan yang dah grad berkecuali ). Kadang-kadang, kita dah muak dengan nasihat-nasihat yang diberikan oleh sesetengah pakar motivasi seperti “ Dalam masa cuti ini kamu haruslah menguruskan masa kamu sebijak yang boleh, buat jadual, bla3..”

Tapi sebenarnya, nasihat adalah tetap nasihat. Dan Jikalau anda rasa bosan dengan nasihat tersebut, adakah ini bermakna anda telah melakukan apa yang dinasihatkan itu? pewh.. 3 bulan tu satu tempoh yang agak lama untuk bercuti. Jom tengok balik sejarah dan sirah nabi Muhammad S.A.W. Kenal tak kerajaan Parsi?Berhati-hati,anda mungkin tersalah sebut Pasir instead of Parsi. Mereka mengambil hampir 2000 tahun untuk membentuk sebuah kerajaan yang kuat. Terkenal pada suatu ketika dengan senjata yang maju, tentera yang kuat cuma mungkin kita kata agak ketinggalan sebab tak buat account facebook (ups).

RomanEmpire? Pernah dengar? Caesar pada suatu ketika memimpin kerajaan Rom yang begitu kuat dan jajahan takluknya begitu meluas.Cuma MUNGKIN Taman Sari sahaja yang bebas dari cengkaman Caesar pada waktu itu( Takde kaitan dengan tempat tinggal penulis ).Kedua-dua buah kerajaan ni mengambil masa beribu-ribu tahun untuk membina empayar sekuat yangdisebut. Tapi..apa yang berlaku?

Kerajaan Parsi telah dijatuhkan oleh tentera islam dalam perang Qadisiyyah dalam masa lebihkurang 3 tahun sahaja..WoW! Kerajaan Rom pula runtuh dan kalah juga di tangan islam dalam masa lebih kurang 2 tahun!!?? Perghh..Manchester City nak kalahkan Man Utd pun mengambil berapa season..hmmm..

Kaitkan sikit dengan situasi kita sekarang yang tengah sibuk bercuti, bayangkan KhalidAl-Walid berada pada masa kita sekarang..Adakah beliau akan online facebook sepanjang masa?Adakah beliau akan bermain game Call of Duty? Atau mungkin menonton movie SONGLAP? Jauh sekali..mungkin dalam masa 3 bulan ni Palestin kembali dalam tangan umat Islam..tak mustahil..Muhasabah diri masing-masing,sebenarnya cuti ni adalah satu panggilan untuk kita bertugas bukan untuk semata-mata mencari kerja untuk meraih duit atau mungkin berehat-rehat di rumah. Carilah pengisian yang terbaik untuk diri seperti membaca buku, mendengar kuliah.Nak bekerja? tak ada masalahnya, yang penting kita faham tujuan kita bekerja dan paling penting ia memenuhi kehendak syariat..

Baca buku, dengar kuliah, mengaji quran, baca tafsir, penulis tahu mungkin kita agak jemu dengan benda-benda macam ni..mana taknya, entah-entah penulis pun main game PES 2012 tiap-tiap hari..fewh..macam ni, dalam membina minat terhadap sesuatu perkara, ada orang kata kena faham dulu konsep yang agama islam bawa. Jom tengok gambar rajah ni..

Mengikut gambar rajah, kita mungkin dah berada di anak tangga ke-4 atau mungkin 5 atau mungkin dah tersembam jatuh balik ke tangga paling bawah..hmm..Realitinya, kita sebenarnya dah terlebih melangkah anak tangga, Islam mengajar kita bermula dari bawah. Macam mana nak faham islam? salah satu solusinya adalah buku..buku apa?buku solusi? Ya, dan banyak lagi buku seperti Apakah erti saya menganut islam, manhaj hidupmuslim, asas-asas islam dan etc..AWAS!! buku ni agak mendorong kepada kemuntahan..hmm..

Kenapa kemuntahan, sebab kadang-kadang kita tak ikhlas membacanya..anda hanya boleh membacanya ketika jiwa anda tenang, bersedia dan ikhlas BUKANNYA ketika anda rasa boring. Kalau anda boring, dan anda baca buku-buku sebegini rasa ikhlas untuk mendapat intipati buku-buku tersebut adalah susah amat sekali sangat..(fuh, banyaknya kata penguat)..

Justeru, ringan-ringankan diri, ikhlaskan hati, dan paling penting setiap hari kalau boleh jangan miss baca quran. Sebab lepas baca quran, fuh hati rasa lega, jiwa pun jadi lapang. Semoga peringatan ini masuk kedalam mata penulis dan mata pembaca kemudian terus ke hati..off lah firewall anda jika bagi membiarkan benih-benih islam subur dalam hati anda..Wallahu a’lam..

Rabu, 9 November 2011

Perang Siffin


Termasuk sejarah versi Syi`ah adalah Perang Siffin merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Muawiyah bin Abi Sufyan ke atas Ali bin Abi Thalib. Sekali lagi hal ini perlu diteliti semula, benarkah Muawiyah bin Abi Sufyan radhiallahu ‘anh memimpin kaum pemberontak ke atas Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh?


Sebelum menjawab persoalan ini, ingin saya jelaskan terlebih dahulu keutamaan Muawiyah. Ini kerana sejak dari bangku sekolah, kebanyakan di kalangan kita mengenali beliau sebagai seorang sahabat yang zalim, pendusta dan pelbagai lagi sifat yang negatif. Pengenalan bentuk negatif ini begitu meluas sehingga jarang-jarang kita menemui ibubapa yang menamakan anaknya “Muawiyah” berbanding dengan nama para sahabat yang lain.

Keutamaan Muawiyah bin Abi Sufyan

Muawiyah bin Abi Sufyan adalah salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia. Beliau dilahirkan 15 tahun sebelum peristiwa hijrah. Mengikut pendapat yang lebih tepat, beliau memeluk Islam selepas Perjanjian Hudaibiyah, iaitu antara tahun 6 hingga 8 hijrah. [Maulana M. Asri Yusoff – Sayyidina Mu’awiyah: Khalifah Rashid Yang Teraniaya (Pustaka Bisyaarah, Kubang Kerian, 2004), ms. 9-10].

Dalam sebuah hadis yang dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani rahimahullah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mendoakan Muawiyah: “Ya Allah! Jadikanlah beliau orang yang memimpin kepada hidayah dan berikanlah kepada beliau hidayah.” [Silsilah al-Ahadits al-Shahihah (Maktabah al-Ma`arif, Riyadh, 1995), hadis no: 1969]

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2924 bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Pasukan pertama daripada kalangan umatku yang berperang di laut, telah dipastikan bagi mereka (tempat di syurga).” Fakta sejarah mencatitkan bahawa armada laut yang pertama bagi umat Islam dipimpin oleh Muawiyah pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh.

Di dalam Shahih Muslim – hadis no: 2501, Abu Sufyan pernah meminta kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam agar Muawiyah menjadi jurutulis baginda. Rasulullah memperkenankan permintaan ini. Sejak itu Muawiyah menjadi jurutulis al-Qur’an dan surat-surat Rasulullah, sekali gus menjadi orang yang dipercayai di sisi baginda.

Muawiyah juga merupakan seorang sahabat yang dihormati oleh para sahabat yang lain. Beliau diangkat menjadi gabenor di Syam semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Umar dan Usman. Pada zaman pemerintahan beliau sendiri, pernah seorang mengadu kepada Ibn Abbas radhiallahu ‘anh bahawa Muawiyah melaksanakan solat witir dengan hanya satu rakaat. Ibn Abbas menjawab: “(Biarkan), sesungguhnya dia seorang yang faqih (faham agama).” [Shahih al-Bukhari – hadis no: 3765]

Demikianlah beberapa keutamaan Muawiyah yang sempat dinyatakan dalam tulisan ini. Dapat dikenali bahawa beliau bukanlah sebarangan orang tetapi merupakan salah seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mulia.

Pendirian Muawiyah tentang kekhalifahan Ali

Apabila Amirul Mukminin Usman ibn Affan radhiallahu ‘anh dibunuh, Ali bin Abi Thalib diangkat menjadi khalifah. Beliau dibai`ah oleh sebahagian umat Islam. Wujud sebahagian lain yang tidak membai`ah beliau, di antaranya ialah Muawiyah. Hal ini berlaku bukan kerana Muawiyah menafikan jawatan khalifah daripada Ali, akan tetapi Muawiyah mengkehendaki Ali terlebih dahulu menjatuhkan hukuman hudud ke atas para pembunuh Usman.

Al-Imam Ibn Hazm rahimahullah menerangkan hakikat ini:

“Dan tidaklah Muawiyah mengingkari sedikit jua akan keutamaan Ali dan hak beliau untuk menjadi khalifah. Akan tetapi pada ijtihad beliau, perlu didahulukan penangkapan ke atas para pembakar api fitnah daripada kalangan para pembunuh Usman radhiallahu ‘anh daripada urusan bai`ah. Dan beliau juga berpendapat dirinya paling berhak untuk menuntut darah Usman.” [al-Fishal, jld. 3, ms. 85]

Di sisi Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib, beliau bukan sengaja membiarkan para pembunuh Usman berkeliaran secara bebas. Malah beliau mengetahui bahawa mereka itu menyamar diri dan berselindung di kalangan umat Islam serta berpura-pura membai`ah beliau. Akan tetapi dalam suasana umat Islam yang masih berpecah belah, adalah sukar untuk beliau mengambil apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, mudah baginya untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman.


Berlakunya Perang Siffin

Setelah Perang Jamal berakhir, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib menghantar utusan kepada Muawiyah meminta beliau berbai`ah kepada dirinya. Muawiyah menolak, sebaliknya mengulangi tuntutannya agar Amirul Mukminin Ali mengambil tindakan ke atas para pembunuh Usman. Jika tidak, Muawiyah sendiri yang akan mengambil tindakan. Mendengar jawapan yang sedemikian, Amirul Mukminin Ali menyiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Syam. Senario ini menyebabkan Muawiyah juga mempersiapkan pasukannya dan mula bergerak ke arah Kufah. Akhirnya kedua-dua pasukan ini bertemu di satu tempat yang bernama Siffin dan bermulalah peperangan yang dikenali dengan Perang Siffin.

Para pengkaji berbeza pendapat, kenapakah Amirul Mukminin Ali mempersiapkan pasukannya ke arah Syam? Persoalan ini masih memerlukan penelitian yang mendalam dengan mengambil kira faktor-faktor luaran dan dalaman yang wujud pada ketika itu. Amirul Mukminin Ali tidak akan mengambil apa-apa tindakan melainkan ia adalah untuk kemaslahatan umat Islam seluruhnya. Hal ini mengingatkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang meramalkan berlakunya Perang Siffin:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Shahih Muslim – hadis no: 157]

Muawiyah memberontak kepada Ali?

Kini penelitian kita sampai kepada persoalan: Benarkah Muawiyah memimpin pemberontakan ke atas Amirul Mukminin Ali? Jawapannya tidak. Ini kerana jika dikatakan seseorang itu memberontak kepada pemimpinnya, nescaya pemberontak itulah yang bergerak ke arah pemimpin. Akan tetapi dalam kes Muawiyah, beliau tidak bergerak ke arah Amirul Mukminin Ali. Sekalipun Muawiyah enggan membai`ah Ali, beliau hanya berdiam diri di Syam tanpa memulakan apa-apa tindakan ketenteraan.

Syaikh Muhib al-Din al-Khatib rahimahullah (1389H) menjelaskan:

“Lalu Ali berangkat meninggalkan Kufah dan menuju di permulaan jalan yang menuju ke arah Syam dari Iraq. Ali mengisyaratkan supaya orang ramai tetap tinggal di Kufah dan mengirimkan yang selainnya ke Syam. Sampai berita kepada Muawiyah bahawa Ali telah mempersiapkan pasukannya dan Ali sendiri keluar untuk memerangi beliau. Maka para pembesar Syam mengisyaratkan kepada Muawiyah agar dia sendiri turut keluar (untuk berhadapan dengan pasukan Ali). Maka orang-orang Syam berangkat menuju ke Sungai Furat melalui Siffin dan Ali maju bersama pasukannya menuju Siffin juga.

Seandainya Ali tidak mempersiapkan pasukan yang bergerak dari Kufah nescaya Muawiyah tidak akan bergerak (dari Syam).” [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 166 & 168 ]

Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis yang lazim dijadikan alasan melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Imam Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2916 di mana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada `Ammar bin Yasir radhiallahu ‘anh:

“Engkau akan dibunuh oleh kelompok pemberontak.”

Di dalam Perang Siffin, `Ammar berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali dan beliau terbunuh dalam peperangan tersebut. Lalu Muawiyah dilabel sebagai pemberontak kerana pasukan beliaulah yang memerangi Ali sehingga menyebabkan `Ammar terbunuh.

Sebenarnya tidak tepat menggunakan hadis di atas untuk melabel Muawiyah sebagai pemberontak. Sebabnya:

1. Sejak awal para sahabat mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada di dalam pasukan Amirul Mukminin Ali. Dengan itu, sesiapa yang memerangi pasukan Ali, nescaya mereka adalah para pemberontak. Akan tetapi fakta sejarah mencatitkan bahawa ramai sahabat yang mengecualikan diri daripada Perang Siffin. Jika mereka memandang pasukan Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya mereka tidak akan mengecualikan diri, malah tanpa lengah akan menyertai pasukan Ali. Sikap mereka yang mengecualikan diri menunjukkan mereka tidak memandang pasukan Muawiyah sebagai pihak yang memberontak. Perlu ditambah bahawa hadis yang meramalkan pembunuhan `Ammar bin Yasir oleh kelompok pembangkang adalah hadis mutawatir yang diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang sahabat. [Rujuk Qathf al-Azhar al-Mutanatsirah fi al-Akhbar al-Mutawatirah oleh al-Imam al-Suyuthi (911H) (al-Maktab al-Islami, Beirut, 1985), hadis no: 104]

2. Amirul Mukminin Ali juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir berada dalam pasukannya. Akan tetapi Ali mengakhiri Perang Siffin melalui perdamaian yang disebut sebagai peristiwa Tahkim. Seandainya Ali memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan
melakukan apa-apa usaha perdamaian dengannya.

3. Apabila terbunuhnya Amirul Mukminin Ali, jawatan khalifah diserahkan kepada anaknya, Hasan bin Ali radhiallahu ‘anh. Tidak berapa lama selepas itu, Hasan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Padahal Hasan juga mengetahui bahawa `Ammar bin Yasir telah terbunuh dalam Perang Siffin. Jika Hasan memandang Muawiyah sebagai pemberontak, nescaya beliau tidak akan menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah. Namun Hasan tetap menyerahkannya, menunjukkan beliau tidak memandang Muawiyah sebagai pemberontak.

Semua ini membawa kepada persoalan seterusnya, siapakah yang sebenarnya dimaksudkan sebagai “kelompok pemberontak”? Kelompok pemberontak tersebut bukanlah pasukan Muawiyah mahupun pasukan Amirul Mukminin Ali, akan tetapi adalah orang-orang yang pada asalnya menyebabkan berlakunya peperangan antara Muawiyah dan Ali. Mereka adalah kelompok pemberontak yang asalnya memberontak kepada Amirul Mukminin Usman ibn Affan sehingga akhirnya membunuh beliau. Diingatkan bahawa sekalipun pada zahirnya peperangan kelihatan berlaku di antara para sahabat, faktor yang menggerakkannya ialah para pemberontak yang asalnya terlibat dalam pembunuhan Usman.

Syaikh Mubih al-Din al-Khatib rahimahullah menjelaskan hakikat ini:

“Sesungguhnya orang yang membunuh orang Islam dengan tangan kaum Muslimin setelah terjadinya pembunuhan Usman, maka dosanya berada di atas para pembunuh Usman kerana mereka adalah pembuka pintu fitnah dan mereka yang menyalakan apinya dan mereka yang menipu sebahagian hati kaum muslimin dengan sebahagian yang lain. Maka sebagaimana mereka membunuh Usman maka mereka juga membunuh setiap orang yang mati selepas Usman, di antaranya seperti `Ammar dan orang yang lebih utama daripada `Ammar iaitu Thalhah dan al-Zubair, sehinggalah berakhirnya fitnah dengan terbunuhnya Ali.

Segala sesuatu yang terjadi kerana fitnah maka yang menanggungnya adalah orang yang menyalakan apinya kerana merekalah penyebab yang pertama. Mereka itulah “kelompok pembangkang” yang membunuh, yang menyebabkan setiap pembunuhan dalam Perang Jamal dan Perang Siffin dan perpecahan yang berlaku selepas kedua-dua perang tersebut.” [catitan notakaki kepada al-`Awashim min al-Qawashim, ms. 173]

Kebenaran tetap bersama pemimpin

Sekalipun dikatakan bahawa Muawiyah bukan pemberontak, tidaklah bererti Muawiyah berada di pihak yang benar. Di dalam Islam, apabila wujud perbezaan pendapat antara pemimpin dan selain pemimpin, maka kebenaran terletak bersama pemimpin. Hendaklah mereka yang menyelisihi pemimpin tetap bersama pemimpin dan berbincang dengan beliau terhadap apa yang diperselisihkan. Di dalam peristiwa yang membawa kepada Perang Siffin, pemimpin saat itu ialah Amirul Mukminin Ali. Maka sikap yang lebih tepat bagi Muawiyah ialah tidak meletakkan syarat untuk membai`ah Ali, sebaliknya terus membai`ah beliau dan kemudian berbincang dengan beliau tentang cara terbaik untuk mengambil tindakan ke atas para pembunuh Amirul Mukminin Usman.

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah menegaskan:

“Dan Muawiyah bukanlah daripada kalangan mereka yang memilih untuk memulakan perang, bahkan beliau daripada kalangan yang paling mengkehendaki agar tidak berlaku perang. Yang benar adalah tidak berlakunya peperangan. Meninggalkan peperangan adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Tidaklah dalam peperangan tersebut (Perang Siffin, wujud satu) pihak yang benar. Akan tetapi Ali lebih mendekati kebenaran berbanding Muawiyah. Peperangan adalah peperangan kerana fitnah, tidak ada yang wajib dan tidak ada yang sunat dan meninggalkan perang adalah lebih baik bagi kedua-dua pihak. Hanya sahaja Ali adalah lebih benar. Dan ini merupakan pendapat (al-Imam) Ahmad dan kebanyakan ahli hadis dan kebanyakan para imam fiqh dan ini juga merupakan pendapat para tokoh sahabat dan tabi’in yang selalu mendapat kebaikan.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 447-448]

Allahu a’lam bisshawab.

- Pendirian Muawiyah Di Sebalik Perang Siffin, Hafiz Firdaus Abdullah

Isnin, 24 Oktober 2011

Superb Sundae Amal Maahad





Salam..uhuk2..batuk,penat,lelah semua ny ada..uhuk2..Akhirnya Futsal Amal (reunion) yang bermula pada 23/10/2011 Ahad telah melabuhkan tirai setelah refree meniup wisel penamat
pagi tadi selepas subuh..Kehadiran peserta lebih kurang dalam 20 + termasuk yang sedang
mengira..program sepatutnya bermula seawal 5.00 ptg namun kerana ahli amal ni banyak
karenah dan jarang bermusafir di kota bharu ini, maka terjadilah perbualan seperti berikut..

anonymous : "Assalamualaikum loh,mu dok manow?"..
penjawab tel : "aku sapa dah kat futsal sakni,tapi g ambek ore betar"..

anonymous : "pah,mana ore nyor??!! xdop ore pon..ke AKU SALAH TEMPAT NI?..
penjawab tel : betul dah kat lunde tu..acu kelih court so lg..
anonymous : Aku sero ak SALAH TEMPAT NI..AK DOK JALE DATO' LUNDE
NI..
penjawab tel : betul latuh..acu g kelih court so lg..
anonymous : ho beyeh2..
begitulah antara perbualan tel yang dirakam..namun perlulah dirahsiakan identiti orang yang bertanya itu agar tidak menjadi aib baginya..he2..jadi, futsal bermula pukul 5.30ptg..agak ramai yang hadir..sebenarnya, program ni juga disertai oleh bekas2 pelajar maahad yang menuntut di universiti lain selain daripada UIA PJ..



Semuanya bermain dengan penuh semangat, biar peluh bercucuran, akan kami ku lap peluh itu
sehingga kami habis main bola..??... +_+

Antara mereka yang hadir ialah perancang utama iaitu Atif yang sudah tidak asing lagi..Hu
saini yang semua orang sudah mengenalinya disebabkan popularitinya semakin meningkat..tak
lupa
juga PENGERUSI AMAL kita..Azim..Amatlah terharu kami pabila mengetahui beliau menaiki teksi ke gelanggang futsal dan nasibnya agak baik kerana menemui Atif di pertengahan jalan yang sedang menaiki motor..


main punya main,sampailah pukul 6.50 ptg kami berhenti maen dan kami pun bersalam-
salaman sambil mengucapkan selamat maju jaya antara satu sama lain..Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke rumah Enche Abdullah Fauzi seperti dalam tentatif yang kemudian
disusuli dengan solat Maghrib berjemaah..Alhamdulillah,dalam kesibukan kami bermain futsal, dapat juga kami menunaikan solat secara berjemaah..Namun amatlah mendukacitakan kami kerana di saat maghrib menjelma itu masih ada lagi manusia2 lain yang tak berhenti bermain
futsal..




Setelah kami selesai menunaikan kewajipan, kami dihidangkan dengan tazkirah ringkas selama 7 minit dalam halaqah..tazkirah diberikan oleh beberapa orang yang terpilih sahaja..Fuh,tazkirah padat tapi bermanfaat dan terkesan di hati..nak tahu apa isinya??
Hakikatnya tanyalah kepada yang memberi tazkirah..


Kemudian kami mempersiapkan diri, cucikan badan, kemas2 barang dan melakukan sedikit aktiviti memasak didapur untuk makan malam nanti...Sebenarnya kami tidaklah memasak namun hanya memanaskan lauk..namun untuk nampak gah sikit, kami pakai perkataan memasak..antara lauk yang dimasak adalah seperti berikut..

Sebenarnya,jurukamera tidak sempat merakamkan gambar2 lauk tersebut, justeru , blogger hanya mengambil gambar2 dari internet yang agak sama dengan lauk yang dimasak.. :)

namun dalam kesibukan memasak,kami tetap menunaikan kewajipan sebagai hamba ALLAH iaitu solat isyak secara berjemaah..dan tibalah masa yang dinantikan, kami maju setapak ke tingkat dua rumah untuk menonton bola sepak..yang paling unik sekali ialah, bukan sahaja
kami solat secara berjemaah, namun bola sepak juga kami dapat menonton secara berjemaah, hilai tawa masam masin telah menghidupkan lagi suasana bola sepak dikala ManU mengalami masalah ...tonton punya tonton,akhirnya bukan setakat kami masak gulai, malah MU juga turut digulaikan oleh ManC..nasib2..

Program diteruskan dengan jamuan makan malam bersama..Pagi esokannya,harapan kami yang begitu tulus untuk berqiamullail akhirnya tidak diizinkan oleh ALLAH kerana kami tidak diberi kesedaran untuk bangun ketika itu..I.ALLAH next time usaha untuk membuat qiamullail akan giat kami jalankan sama ada secara fardi atau jemaah..namun, disebalik, kekecewaan yang menimpa, ada satu perkara yang menarik perhatian blogger.

Kami semua bangun tepat pukul 5.45 pg dan siap sedia untuk solat berjemaah subuh di masjid..yang menjadi kehairanan blogger ialah tuhan telah mengejutkan kami awal sedikit sebelum subuh bagi memberi ruang kepada kami untuk bersiap dan solat jemaah di masjid..bagi blogger, solat subuh di masjid awal adalah dilihat mustahil bagi kita ini sekarang di rumah..nak kemasjid? subuh pon belum tentu bangun..

Alhamdulillah,dalam kepenatan kami beriadhah,tetap kami dapat solat subuh berjemaah di masjid..selepas subuh, kami membaca ma'thurat,halaqah quran dan tazkirah..

Program akhirnya berakhir dengan breakfast yang seberapa..Terima kasih kerana menjoin program..Semoga program ini diberkati dan menjadi pengajaran bagi sesiapa yang mahu mengambil pengajaran..Sekian..