ADS 468x60

Memaparkan catatan dengan label Hati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hati. Papar semua catatan

Rabu, 26 September 2012

Bagaimana Solat Kita?

Selalu kita dengar ustazah/ustaz kita kata "Solat itu dapat mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran." Tapi betul kah? Namun, sejauh mana solat itu berkesan dalam mencegah seseorang itu daripada melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini? 
Ya, setiap apa yang Allah perintahkan kepada hamba-hambaNya penuh dengan kebaikan. Allah memerintahkan sesuatu hukum untuk dipatuhi oleh manusia bukanlah satu perkara yang sia-sia. Walhal walau perkara itu di anggap kecil, pasti padanya kebaikan dan penuh dengan maksud tersirat. Umpama Allah 'memerintahkan' agar daun gugur ke bumi. Padanya juga ada 'petunjuk' dan 'sebab' yang kita sendiri pun tidak dapat membongkarnya.
Demikianlah dengan solat. Allah memerintahkan kepada kita untuk mengabdikan diri kepadaNya ketika duduk, berdiri, baring dan dalam apa jua keadaan. Pada solat itu terdiri daripada gerakan-gerakan badan- berdiri, rukuk, sujud yang dituruti dengan hati yang memuji kesempurnaan Allah SWT. Setiap kali kita mengangkat takbir, kita mengucapkan pujian kebesaran kepada Allah. Kemudian apabila kita rukuk, sujud, ikhtidal seiring kita memuji dan membesarkan keagungan Allah SWT.
Lantas dengan kehadiran hati yang khusyuk semasa berhadapan dengan Allah SWT memberi kesan kepada hati itu seterusnya memberi kesan kepada anggota-anggota badan yang lain untuk menjauhi maksiat. 
Justeru, dari hatilah bermulanya pencegahan diri daripada melakukan kerosakan di muka bumi Allah. Apabila hati itu penuh dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah, maka menzahirkan anggota-anggota badan yang turut 'patuh' pada perintah tuhannya. 
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;
"Ketahuilah bahwa pada jasad terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah itu adalah hati"
(Hadis Shahih Bukhari)
Manakala Imam al-Ghazali pun di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyatakan, 
"Hati itu ibarat raja, manakala anggota- (tangan, kaki, mulut, mata dll) itu ibarat rakyatnya. Jika baik raja itu, baik juga rakyatnya. Demikianlah hati, jika hati itu baik maka baiklah seluruh anggotanya"
Solat itu Pencegah Maksiat 
" Setiap hari dia solat, tapi setiap kali itu jugalah dia maksiat" 
" Semalam nampak pak din kat Masjid bersolat, hari ni nampak pula kat kedai nombor"
" Solat tak pernah tinggal, mengumpat pun tak pernah tinggal" 
Mari kita renungkan sama-sama. Mengapa boleh jadi sedemikian rupa? Kita tahu dan yakin solat itu mencegah diri daripada kejahatan dan maksiat. Allah juga telah nyatakan di dalam kitabNya yakni sesungguhnya solat itu dapat mencegah diri daripa kejahatan dan kemungkaran. Tapi, mengapa masih melakukan maksiat? Mengapa masih berada di 'jalan' yang sama?

Di dalam al-Quran, Surah al-Ma'un ayat 4-5,  Allah menyebut tentang orang-orang yang celaka di dalam solatnya.
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yg solat, (iaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya."
Maksud celaka di sini, solat itu sendiri tidak mendatangkan manfaat kepada dirinya sendiri sekalipun dia melakukan solat. Mereka tergolong di dalam golongan orang-orang yang lalai. Siapakah orang-orang yg lalai? Mereka ialah;
1) Orang-orang yang tidak menghargai serta melalaikan perlaksanaan dan waktu-waktu solat. 
2) Orang yang secara jasadnya sedang melakukan solat, tetapi hatinya tidak fokus/hadir bersama di dalam solatnya.
3) Mereka yang sentiasa melakukan solat tetapi dalam masa yang sama membiarkan dirinya di dalam kebinasaan iaitu dengan melakukan maksiat kepada Allah. Iyya uzubillah~
4) Orang yang terpaksa melakukan solat bukan kerana Allah SWT. Dia melakukan solat dengan niat untuk memperlihatkan amalan solatnya kepada makhluk.
5) Orang yang menunaikan solat semata-mata mengejar kepentingan dunia seperti melakukan solat demi pangkat, jawatan dan gelaran (Alim dan warak) daripada manusia.
Semoga Allah memelihara diri kita daripada tergolong bersama-sama mereka yang lalai. Dan semoga Allah tetapkan langkah kita agar istiqamah di jalanNya, tergolong di kalangan mereka yang mengutamakan solat di awal waktu serta mengutamakan urusan ukhrawi semata-mata mengharap keredhaan Allah SWT.
Muhasabah Solat Kita
Memang secara lisan senang sahaja kita menyebut solatlah dengan khusyuk tetapi untuk melakukannya perlukan mujahadah. Melakukannya terasa payah hatta al-Junaid; seorang sufi agung islam itu mengatakan:
"Kadangkala aku mengandai-andaikan syurga dan kenikmatan ketika mendirikan solat. Kadangkala mengingatkan urusan duniaku saat solat. Kadangkala aku tidak merasa aman ketika mendirikan solat. Kadangkala sepertiga hatiku memikirkan bacaan solat, sepertiga lagi memikirkan perkara sebelum & sesudah solat yang telah dan akan aku kerjakan. Sedangkan sepertiga lagi hatiku dipenuhi keresahan yang aku tidak tahu sebabnya. "
Sedangkan seorang sufi agung sendiri diganggu oleh syaitan ketika mendirikan solat apatah lagi kita yg biasa-biasa sahaja ni? 
Ketahuilah fudhail bin Iyyad memberitahu:
"Sebenarnya fitnah bukanlah engkau diperkatakan sesuatu yg tidak ada pada dirimu. Tetapi, hatimu yang masih dipenuhi kecintaan dan bertuhankan sesuatu selain Allah itulah sebenarnya fitnah keatasmu. "

Kesimpulannya,  marilah kita sama-sama muhasabahkan diri,  melihat kekurangan dan kesalahan kita di dalam solat. Janganlah kita sekadar solat kerana semata-mata mengikut suruhan Allah sahaja. Hayati setiap apa yang kita lafazkan. Tidak perlu untuk faham keseluruhan sekali gus, biar sedikit tetapi berlanjutan. Jika pada awal, mulakan memahami bacaan iftitah di dalam bahasa melayu, kemudian jika telah faham dan ingat, berpindahlah pula ke bacaan yang lain. 
Tiada gunanya kalau kita sekadar membuat rukun solat namun tiada satu pun yang dapat menyentuh hati kita. Justeru, solatlah bersungguh-sungguh dengan menghayati setiap bacaannya . Ketahuilah Allah tidak melihat jenama telekung, jubah atau baju melayu apa yang kita pakai tetapi Allah hanya melihat hati kita dlm kekhusyukan melaksanakn solat.
Wallahu Ta'ala A'lam.
- Artikel iluvislam.com

Ahad, 10 Julai 2011

RELAKAN PERPISAHAN ITU DEMI CINTA


Kadangkala aku sendiri kebingungan. Bila ditusuk soalan demi soalan. Bagi yang telah merasa cinta… Bagi yang belum merasanya. Cinta tidak habis-habis diperkatakan, walaupun telah berkali-kali aku pesankan bahawa cinta itu bukan Tuhan!
Dulu aku pernah mengingatkan diri sendiri, dipercayai lebih utama daripada dicintai. Namun, mengapa hati masih tidak mahu percaya? Kekadang, jalan berapi ditempuh jua. Ah, bujukan nafsu terlalu melulu. Sudah terantuk baru terngadah. Sudah berdarah, baru berubah.
Pada remaja yang terus bertanya… Pada ’retua’ yang terus meminta… satu kepastian, satu panduan… terus-terang kukatakan aku sendiripun terus bertanya dan terus meminta. Tidak mungkin aku memberikan apa yang aku tidak punya! Tetapi itu bukan alasan untuk menyerah. Mencari dan terus mencari, itulah yang lebih berharga. rasa belum memiliki adalah modal terpenting untuk memiliki cinta… cinta Allah.
Itulah cinta pertama dan cinta utama. Walaupun sudah berkali-kali kalimah itu disebutkan, tetapi yang mendengar cuma telinga dan akal, bukan jiwa dan hati. Hati masih tuli… Jiwa masih alpa… Bila dia berani berkata dan merasa, cinta yang dicari lebih baik daripada cinta yang ditemui!
Pada sahabatku yang selalu berkongsi lewat sms dan email, pada saudara/i yang terus meluahkan cerita dan berita melalui wadah Gentarasa ini, sudi apalah kiranya berhenti sejenak dalam kelelahan bercinta. Mari kita istirehatkan hati dengan…
Relakanlah perpisahan itu demi cinta
 Pernahkah kita terasa tiba-tiba sahaja seolah-olah tidak mengenali pasangan kita? Mengapa dia menjadi “manusia lain”? Seakan-akan kita belum pernah mengenalinya walaupun telah berumahtangga sekian lama. Jika kita pernah mengalami perasaan itu, jangan terkejut. Ia adalah perkara biasa. Bukan sesuatu yang luar biasa.
 Itu semua gara-gara warna sebenar (true colours) pasangan kita mula terserlah. Satu demi satu wataknya yang tersirat mula tersurat. Mengikut kajian pakar perkahwinan, hanya setelah usia lima tahun perkahwinan, barulah masing-masing (suami dan isteri) mengeluarkan semua sikap dan perangai mereka yang tersembunyi.
 Pernah kita baca di dada akhbar  bagaimana kelohan seorang isteri yang telah disimbah asid oleh suaminya. Katanya, “setelah tiga bulan berkahwin barulah saya sedar bahawa suami saya sebenarnya seorang yang panas baran.” Ironinya, mungkin pasangan itu telah bercinta (berpacaran) tiga tahun sebelum mereka berkahwin. Bayangkan, tiga tahun bercinta tanpa mengenal diri kekasih yang sebenar. Benarlah cinta itu buta.
 Cinta kerana nafsu memang buta. Kita dikelabui oleh daya tarikan fizikal sehingga tidak punya mata hati dan akal untuk mengenal siapa yang kita cintai dengan tepat dan betul. Selama tiga tahun bercinta mungkin yang kita ‘gunakan’ cuma nafsu dan emosi bukan fikiran dan hati. Al hasil, setelah tabir perkahwinan mula diangkat, tabir percintaan pun berlabuh. Realiti tidak seindah ilusi. Kenyataan berbeza sungguh daripada impian.   
Masa bercinta, warna sebenar – true colours pasangan kita tidak akan ketara. Dia boleh bermuka-muka dan rela mengikut selera, minat dan jalan hidup kita. Dan kita juga rela mengikut segala kehwendaknya. Kita dan dia mabuk cinta! Namun semakin lama berumah-tangga, maka semakin ketara kelemahan dan kekurangan. Apakah dia umpama bulan yang dipuja dikejauhan oleh Sang sastrawan tetapi botak dan berlopak di mata seorang angkasawan?
 Pada tahap ini, ramai yang mula menyesali diri. Mengapa dia yang ku pilih? Tanpa sedar bahawa pada masa yang sama, dia juga mungkin berbisik mengapa kita yang dipilihnya? Inilah bibit-bibit yang boleh meruntuhkan sebuah rumahtanga. Yang nekad, rela berpatah arang lalu menempuh jalan penceraian. Yang penakut, menunggu dengan resah memendam perasaan… tanpa ada lagi keceriaan.
Manusia adalah makhluk yang sentiasa berubah. Ia punya hati yang sangat konsisten untuk berbolak-balik. Bila hati berubah, fikiran dan tingkah laku juga akan berubah. Untuk kita mengenal manusia (termasuk pasangan kita) kita terpaksa mengenali perubahan itu. Ah, ini suatu yang sangat sukar. Masakan tidak, untuk mengenal hati sendiripun acapkali kita tidak mampu… inikan pula hati orang. Sukar diduga dan ditebak.
 Akibatnya, ramai orang yang berkahwin dengan orang yang ‘tidak dikenalinya’. Bukan rupa zahirnya tetapi wajah batinnya. Disangka permata, rupanya kaca. Cuaca rumah tangga mula berubah. Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengahari. Situasi inilah yang banyak berlaku dalam rumahtangga kini hingga menyebabkan (mengikut kajian) setiap lima belas minit berlaku satu penceraian!      
 Apakah cara mengenal manusia yang serba kompeks ini? Bagaimana menentukan dengan pasti bahawa pasangan yang bakal kita pilih itu baik orangnya? Ya, ada tiga cara:
 1. Jadi orang baik.
Maksudnya, kita sendiri cuba sedaya upaya menjadi orang yang baik, Insya-Allah kita akan dikurniakan orang yang baik sebagai pasangan hidup kita. Ini janji Allah. Menjadi orang yang baik perlu diutamakan berbanding ‘mencari’ orang yang baik. Ia lebih mudah kerana menjadi orang baik bermula dengan diri sendiri.
 Perlu diingat, janji mendapat pasangan yang baik bagi orang yang baik, bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan. Mungkin pada awalnya pasangan orang yang baik itu belum begitu baik namun berkat didikannya, pergaulannya dan doanya maka pasangannya  itu berubah menjadi baik selepas mereka berkahwin.
 Jadi, jangan putus asa sekiranya pada awal perkahwinan kita lihat pasangan kita belum benar-benar baik seperti yang kita harapkan. Sebaliknya, teruskan usaha untuk menjadi orang yang baik sambil mendidik dan mendoakan pasangan kita itu. Ingat, setelah berkahwin dengan kita, pasangan kita itu adalah cerminan akhlak dan keperibadian kita. Siapa mereka sebelum berkahwin dengan kita kurang penting berbanding siapa mereka setelah berkahwin dengan kita. 
 Justeru, tidak kira siapa dia sebelum berkahwin dengan kita, tetapi sebagai suami atau isteri kita komited untuk merubah diri kita sendiri terlebih dahulu seiring usaha merubah dirinya. Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka dengan apa yang kita dapat. Caranya, ialah dengan merubah diri kita terlebih dahulu, dan insya-Allah perubahan itu akan merubah pasangan kita ke arah yang sama.   
 2. Ikut pilihan orang baik.
Ada orang yang menyerahkan hak membuat pilihan kepada orang-orang yang dianggapnya sangat baik dalam hidup ini. Mereka meminta ibu-bapa, ustaz-ustaz, ulama-ulama atau sesiapa sahaja yang dianggap baik untuk memilih jodoh buat mereka. Mereka pasrah dan menyerah sahaja. Tetapi dengan satu keyakinan: Orang yang baik pasti akan memilih orang yang baik sebagai pasangannya.
 Ibu-bapa, para ulama dan orang yang baik-baik sekali-kali tidak akan menganiayai kita dengan memilih orang yang ‘jahat’ sebagai pasangan hidup kita. Kaedah ini telah dipraktikan oleh anak-anak muda zaman dahulu yakni ketika nilai-nilai agama belum dicabar oleh nilai Barat yang kononnya menyanjung hak asasi manusia dan kebebasan bersuara.
 Pada pilihan orang yang baik, ada keberkatannya. Walaupun tidak ada cinta sebelum berkahwin, tetapi cinta selepas berkahwin jauh lebih suci dan indah. Cuba kita renungkan, betapa seringkali rumah tangga ibu-bapa yang berkahwin mengikut pilihan orang tuanya   lebih kekal dan harmoni berbanding rumah tangga anak-anaknya yang kononnya berkahwin atas dasar cinta.  
 Inilah kaedah yang dipraktikan oleh Zainab yang berkahwin dengan lelaki yang menjadi pilihan bapanya (Rasululllah saw). Zainab akur atas pilihan itu kerana yakin akan sifat kasih sayang, amanah dan kebijaksanaan ayahnya. Dia yakin hanya orang baik (Rasulullah saw) mampu mengenal orang baik dan memilih orang baik sebagai pasangan hidup anaknya.    
 Justeru, sekiranya kita terlalu sukar untuk mengenali seseorang secara tepat, maka serahkan sahaja tugas itu kepada orang yang lebih arif untuk mengenalnya. Jangan cuba membuat penilaian sendiri… Bermuzakarahlah dengan orang yang baik-baik dan dirikan solat istikharah – pinta petunjuk daripada Allah setelah pilihan itu diserahkan ke tangan kita. Tidak akan kecewa orang yang bermuzakarah dan beristikharah!
 3. Cintai Allah yang Maha Baik.
Kita tekad sahaja untuk mencintai Allah. Jangan pandang cinta manusia lagi. Buru cinta yang utama dan pertama (cinta Allah), insya-Allah cinta kedua, ketiga akan memburu kita. Apabila kita mencintai Allah, Allah akan mencintai kita dan bila Allah telah mencintai kita, semua orang yang mencintai Allah akan turut mencintai kita. Rasulullah saw telah bersabda:   
“Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: “Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!” Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata: “Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia.” Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.” (Hadis Riwayat Bukhari)
 Untuk mencintai Allah, kita wajib mencintai Rasulullah saw. Antara langkah-langkah menyintai Rasulullah saw itu adalah dengan banyak berselawat kepadanya, menegakkan sunahnya, menziarahi makamnya dan lain-lain lagi. Ini adalah ubat yang mujarab bagi isteri yang dikecewakan sumai atau suami yang dipinggirkan oleh isteri. Jangan menagih cinta makhluk sampai kita derita dan sakit hati dibuatnya. Merajuk pada yang kasih, merayu pada yang sudi… Siapa lagi yang terus kasih dan sudi mencintai kita ketika semuanya telah berpaling kecuali Allah?
 Ya, burulah cinta itu.     Cinta Allah mampu mengekalkan, malah boleh meningkat lagi rasa cinta walaupun perubahan fizikal berlaku, justeru tapak cinta itu di hati, bukan lagi di ‘body’. Biarlah cinta pasangan kita berubah (walaupun kita terus berdoa agar tidak begitu), tetapi kita tidak akan berubah daripada menyintai Allah.
 Yakinlah jika pasangan kita juga menyintai Allah, pasti dia dan kita akan disatukan-Nya semula. Jika tidak, relakanlah perpisahan itu. Jangan bersedih, kerana sesuatu yang tidak memanfaatkan pasti tidak boleh memudaratkan!
http://genta-rasa.com

Isnin, 18 April 2011

Hidayah - Hijjaz

Rabu, 30 Mac 2011

Adab Menuntut Ilmu


SALMAN AL FARISI | EDITOR: NOR ADRENALINE
Dalam usaha kita untuk menuntut ilmu, seharusnya kita mengetahui dahulu betapa perlunya adab-adab sebelum menuntut ilmu. Perkara ini diperkuatkan lagi dengan kata-kata Ibnul Mubarak dalam sebuah kitab beliau:
"Aku memperlajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun. Dan adalah mereka (ulama') mempelajari adab kemudian mempelajari ilmu" [Mansuah al Adab al Islamiah : 15]
Pada pandangan saya, perlunya adab dan ilmu boleh diumpamakan seperti 'adunan untuk membuat roti'. Adab diumpamakan seperti gandum dan ilmu diumpamakan seperti garam. Hendaklah kita memperbanyakkan gandum berbanding garam namun nisbah tersebut haruslah sekata supaya gandum dan garam yang diadun sempurna nisbahnya. Dan ketahuilah, memperbanyakkan adab bersama ilmu yang sedikit lebih baik daripada memperbanyakkan ilmu berbanding adab yang sedikit.
Dalil Menuntut Ilmu
Dalam Surah at Taubah ada menyebut bahawa bukan semua di antara kita pergi untuk berjuang (berjihad). Makanya wajib sebahagian di antara kita pergi memperdalamkan ilmu agama. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." [At Taubah 9 : 122]
Dan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut bahawa sekiranya Allah SWT ingin memberikan hambanya kebaikan, maka Allah SWT akan memberikannya kefahaman dalam agama. Perkara ini yang harus dikejar oleh setiap muslim agar dekat kepada kebaikan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan menuntut ilmu. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah SWT baginya akan kebaikan, nescaya Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama" [HR Bukhari dan Muslim]
Adab Menuntut Ilmu
01.Niat yang ikhlas

Menuntut ilmu bukan untuk lulus dalam perperiksaaan, untuk mendapat kerja yang bagus, untuk dikatakan orang yang bijak atau pelbagai lagi niat yang lain melainkan hanya kerana Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang menuntut ilmu kerana selain daripada Allah SWT ataupun menghendaki menuntut ilmu (sebaliknya) selain daripada Allah SWT, maka disediakan tempat duduknya daripada neraka." [HR Tarmizi]
Niat itu sendiri memainkan peranan yang tinggi dalam sesuatu amalan. Setiap amalan kita akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat. Maka niatlah segalanya hanya kerana Allah SWT, kerana sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang terdetik dalam hati tiap-tiap manusia.
02.Beradab dengan orang yang memberi ilmu

Imam Syafie pernah bekata:
"Sesiapa yang ingin dibuka hatinya oleh Allah, maka hendaklah ia berkhalwah, sedikit makan, menjauhi daripada bergaul dengan orang yang bodoh, dan membenci orang yang tidak berlaku adil dan tidak beradab daripada kalangan mereka yang berilmu" [Kitab Majmuk, Syarah Mazhab, jilid 1, m/s 31]
Pada pendapat saya dalam hal beradab dengan guru, ia memerlukan perbahasan yang panjang. Namun secara ringkasnya bagi kita sebagai penuntut, adab-adab ini haruslah disesuaikan mengikut situasi. Janganlah kita terlalu menghormatinya sehinggakan mengakui kesilapan yang guru itu lakukan dan janganlah juga kita terlalu memperlecehkan sehingga guru itu tidak ikhlas dalam memberi ilmu kepada kita. Hormatnya kita akan guru berubah mengikut situasi dimana hormatnya seorang kanak-kanak tadika dengan gurunya berbeza dengan hormatnya mahasiswa dengan pensyarah.
03.Bersabar dalam menuntut ilmu

Imam Syafie pernah berkata:
"Tidak diperolehi ilmu kecuali dengan bersabar atas kesengsaraan." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s: 237
04.Tulis setiap yang dipelajari

Sahabat Rasulullah SAW sendiri menulis jika ingin menuntut ilmu, adakah kita lebih baik dari mereka dengan tidak menulis apa yang dipelajari?
Abu Hurairah berkata: 
"Tidak ada seorangpun daripada sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis kecuali Abdullah bin Amr bin al Asr, maka sesungguhnya dia telah menulis dan aku tidak menulis" [HR Ahmad dan Baihaqi]
05.Rendah diri

Imam Ahmad bin Hambal berkata:
"Kami diperintahkan supaya tawadhu' (rendah diri) kepada siapa yang kami pelajari ilmu daripadanya." [Kitab Muntalaqat Talib al Ilmi, Husin Ya'cob, m/s 274]
06.Menjahui dari kenyang yang berlebihan

Ibn Jama'ah berkata:
"Sebesar-besar perkara yang menolong seorang penuntut ilmu dengan kefahaman dan tidak rasa jemu adalah makan sekadarnya daripada makan yang halal." [Kitab Fadhlu al Ilmi wa Adab Talabihi, m/s 222]
07.Tidur yang sedikit

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada di dalam taman-taman (syurga) dan mata air, mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan kepada mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu (di dunia) adalah orang-orang yang berbuat baik; mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka meminta ampun (kepada Allah SWT)." [Az Zariyat 51 : 15 – 18]
08.Kurangkan berkata-kata yang tidak menfaat

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka bercakaplah dengan perkataan yang baik ataupun diam." [HR Bukhari dan Muslim]
PENUTUP:
Tiada adab yang lebih sempurna melainkan kita mengikuti adab Rasulullah SAW dan adab mereka yang segenarasi dengan Rasulullah SAW (sahabat), generasi setelahnya (tabi'in) kemudian setelahnya (tabi' tabi'in).
Saya menasihati para pembaca sekalian agar dalam usaha kita untuk menuntut ilmu agama, seharusnya memperbanyakkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Namun adab-adab tersebut seharusnya jangan terlalu 'fanatik' sehinggakan memperbetulkan apa yang salah dari mereka yang kita hormati. Manakah yang kalian lebih cintai sama ada pemberi ilmu atau kebenaran? Dan kebenaran itu juga seharusnya dengan ilmu.
Hanya ilmu yang layak untuk menjadi pegangan kita sebagai ummat akhir zaman ialah al Quran, as Sunnah dan sunnah Khulafa' al Rasyidin seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesungguhnya barangsiapa di antara kalian yang hidup sepeninggalanku nanti, maka ia akan melihat perselisihan yang banyak. Oleh kerana itu wajib bagi kalian untuk berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah al Khulafa al Rasyidin yang terbina dan terbimbing. Berpeganglah erat-erat denganya dan gigitlah ia dengan gigi gerham." [HR Abu Daud, at Tarmidzi dan lain-lain]
Tinta saya hanyalah dari ilmu yang sedikit namun kerana kesedaran betapa pentingnya adab dalam menuntut ilmu maka saya kongsikan apa yang terbaik dari ilmu yang sedikit ini. Saya memohon dari para 'alim dari segala ilmu untuk menegur jika terdapat salah dan silap dari apa yang saya kongsikan ini. Sungguh tiada yang lebih benar melainkan dari al Quran dan as Sunnah Rasulullah SAW.