ADS 468x60

Memaparkan catatan dengan label Ilmu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ilmu. Papar semua catatan

Sabtu, 21 Mei 2011

MENGAPA MEREKA LEBIH BAIK?


Usai solat Subuh Jumaat sering menghadiahkan detik terbaik untuk bermuhasabah. Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.
Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.
Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!
Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok.  Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.
Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may…  pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.
Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita beruasaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.
Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.
Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama  ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.
Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!
Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada!
Oh, bagi sahabatku yang beberapa minggu dulu telah bertanya, aku hulurkan tulisan ini seadanya. Soalnya lewat SMS, “mengapa orang bukan Islam kekadang lebih jujur dan baik?” Dan inilah jawapanku sekadarnya…
  “Aku hairan mengapa orang bukan Islam lebih jujur dan amanah daripada orang Islam?” kata seorang sahabat saya yang juga seorang jurutera. Saya diam. Memang ada kebenarannya jika dilihat selayang pandang.
“Awak lihat di negara-negara Barat, surat khabar dibeli hanya dengan meletakkan wang di dalam bekas di tepi jalan. Tidak ada orang mengelat untuk membayarnya.”
Cerita yang sama pernah saya dengar daripada kawan-kawan yang pulang dari London. Saya teruja dengan topik perbualan pagi itu. Mengapakah orang bukan Islam lebih baik perilakunya berbanding orang Islam? Jika benar, benarkah itu yang sebenarnya?
“Itu di Barat, cuba awak perhatikan di Jepun sewaktu dilanda tsunami baru-baru ini. Rakyatnya berbaris sewaktu menerima bantuan makanan. Peniaga menjual bateri yang sangat diperlukan sewaktu terputus bekalan elektrik dengan separuh harga. Nilai kemanusiaan mereka terlalu tinggi. Tidak ada sikap mengambil kesempatan dan mementingkan diri walaupun pada saat-saat kritikal. ”
“Kalau di negara-negara Islam?” tanya saya untuk menyemarakkan perbualan.
“Kita boleh lihat sendiri bagaimana umat Islam berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan di kawasan yang dilanda bencana alam. Malu kita melihatnya. Di negara kita pun, apa kurangnya. Apabila ada kenderaan membawa makanan terlibat dengan kemalangan, penduduk sekitarnya berebut mengambil makanan yang bertabur. Itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang dan etika tetapi haram di sisi agama.”
Saya terus mengangguk-angguk, mengiakannya. Saya masih teringat bagaimana seorang mufti pernah memberi amaran agar wang yang diambil dari sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan suatu ketika dulu dipulangkan kerana perbuatan mengambil wang yang bukan milik kita adalah haram.
“Mengapakah sikap orang bukan Islam lebih baik daripada kita orang Islam?” Sekali lagi pertanyaan itu diajukan kepada saya. Dalam diam, saya terus berfikir.
“Secara fitrahnya manusia dicipta dengan potensi kebaikan. Setiap insan dibekalkan Allah dengan benih kebaikan secara tabii. Cuba kita lihat dalam realitinya…  ada individu yang secara semula jadinya pemurah, mudah simpati, penyayang berbanding individu yang lain. Manakala ada pula yang lebih berani, tahan lasak, gigih…”
“Tidak kira orang Islam dan bukan Islam?”
“Ya.  Tidak kira sama ada dia orang Islam atau bukan Islam, sama-sama Allah bekalkan benih kebaikan yang ada dalam diri setiap manusia… ”
“Kalau begitu, manusia boleh jadi baik tanpa Islam? Jadi apa gunanya diutus para Rasul jika tanpa agama pun manusia sudah boleh jadi baik?” soalnya bertalu-talu.
“Para Rasul terutamanya Nabi Muhammad diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Begitu yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Benih kebaikan yang diberikan sebelum ini ialah bekalan asasi daripada Allah untuk seorang insan menerima seruan kebenaran yang dibawa oleh para Rasul.”
“Menyempurnakan? Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan ‘menyempurnakan’ itu?”
“Maksudnya, benih kebaikan pada diri manusia memang sudah ada. Kedatangan Rasulullah s.a.w. adalah untuk lebih menyuburkan benih kebaikan itu.”
Melihat dia termenung, saya menambah, “umpama sebiji benih, untuk membesar ia perlu diberi air, baja, cahaya dan dijaga daripada serangga perosak. Jika semua itu dibuat, barulah ia boleh membesar menjadi pohon yang baik, berdaun, berdahan dan akhirnya berbuah.  Itulah maksudnya dengan menyempurnakan.”
“Tanpa kedatangan Rasulullah?”
“Benih itu boleh tumbuh juga tetapi tidak sempurna. Mungkin terbantut, tidak hidup lama dan mungkin mati sebelum berbuah. Maka begitulah sikap baik manusia tanpa pimpinan agama, akan mudah terhakis, tidak holistik, tidak tahan lama dan tidak tahan uji.”
“Maksud awak?”
“Mungkin ada orang yang baik dalam perkara-perkara tertentu, tetapi dalam perkara yang lainnya tidak. Orang Barat mungkin jujur dalam soal kewangan, tetapi tidak jujur dalam pergaulan lelaki perempuan. Perzinaan, homoseksual, lesbian dan bersekedudukan sudah menjadi kebiasaan, ” kata saya.
“ Orang Jepun pula mungkin baik daripada hubungan sosial dan kemanusiaan, tetapi kecundang daripada segi spiritual. Kejadian bunuh diri, buli dan stres berleluasa di kalangan masyarakat mereka.  Tetapi konsep akhlak dalam Islam itu lebih menyeluruh dan sepadu, akhlak dengan Allah, dengan manusia, dalam ekonomi, sosial dan seluruh sistem kehidupan,” dia menambah.
Kemudian dia terus termenung. Keningnya berkerut, lantas berkata “tetapi…”
“Tetapi masyarakat Islam hari ini tidak begitu bukan?” ujar saya menangkap apa yang sedang difikirkannya.
“Ya. Kenapa?”
“Banyak dan besar bezanya antara masyarakat Islam dengan masyarakat umat Islam. Sekarang ini hanya ada masyarakat umat Islam.”
“Saya masih keliru, apa maksud awak?”
 “Percayakah awak ramai orang Islam yang tidak mengamalkan sifat kejiranan, pentingkan diri, hidup nafsu-nafsi, minum arak, bergaul bebas, makan riba, tidak solat dan mengamalkan lain-lain kemungkaran? Kita nak namakan apa mereka tu, orang Islam?”
“Ya, memang tetap beragama Islam. Selagi mereka bersyahadah kita tidak boleh menuduh mereka kafir.”
“Betul, mereka tetap orang Islam. Jika mereka bermasyarakat, masyarakat mereka dinamakan masyarakat umat Islam. Tetapi bukan masyarakat Islam. Masyarakat Islam hanya terbentuk apabila setiap anggotanya mengamalkan hidup berpandukan syariat yakni peraturan Allah dalam semua bidang kehidupan…”
“Tadi awak kata sikap baik yang dibentuk berdasarkan tabii sahaja tidak tahan uji…cuba jelaskan,” ujarnya mengalih fokus perbualan kepada persoalan asal – mengapa orang bukan Islam lebih baik?
“Ya, mungkin atas dasar tabii seseorang boleh melakukan kebaikan selagi dibalas dengan kebaikan tetapi jika kebaikannya dibalas dengan kejahatan, dia tidak mampu lagi untuk bertahan atau ketulusannya akan terjejas.”
“Apa kaitannya semua ini dengan persoalan saya tadi, mengapakah orang bukan Islam lebih jujur daripada orang Islam sendiri?”
“Itu kerana faktor tabii individu yang lama-kelamaan menjadi budaya sesuatu bangsa, kelompok atau negara. Misalnya, orang Inggeris terkenal dengan budaya bersih, menepati waktu dan berterus terang. Itu budaya bangsa yang pada asalnya ialah tabiat individu. Namun apabila ramai individu dalam bangsa itu yang bersikap demikian dan diamalkan pula pada setiap masa dan keadaan, maka jadilah budaya bangsa tersebut. Al-hasil, budaya bangsa itu pun tersentuk secara ‘evolusi ‘dan ‘gradually’. Misalnya, bangsa  Inggeris itu bersih, menepati waktu dan berterus terang.”
“Seperti budaya bangsa Arab yang cekal, menghormati tetamu dan berani. Bangsa Melayu yang sinonim dengan sikap lemah lembut, pemalu, ramah mesra dan mengenang budi. Bangsa Cina yang tahan menyimpan rahsia, sabar dan gigih berusaha. Bangsa Jepun yang terkenal dengan berani, berdisiplin dan bekerjasama. Itu semua berasal daripada sifat tabii individu yang kemudiannya membentuk budaya sesuatu bangsa. Itu maksud awak?” tambahnya.
Saya hanya mengangguk, alhamdulillah, dia cepat menangkap apa yang saya maksudkan.
“Namun, harus diingat, tanpa Islam budaya bangsa walau sebaik mana pun tidak akan mampu bertahan. Tambahan pula dalam arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini.  Penyebaran budaya Barat menerusi teknologi maklumat serta dasar neokolonialismenya yang terus-menerus melancarkan proses “homogenisasi” agar budaya hidup liberal diamalkan di seluruh dunia.”
“Saya terbaca, semangat generasi muda Jepun kini tidak sekental nenek moyang mereka dahulu. Generasi Cina yang ketiga juga khabarnya sedang mengalami kelembapan. Begitu juga generasi muda Melayu, sudah kurang adab dan rasa malunya… Budaya punk, rock dan lain-lain melanda remaja seluruh dunia. Nilai-nilai ini dianggap maju, moden dan dinamik. Nilai-nilai tradisional dianggap mundur, jumud dan statik.”
“Semua bangsa hakikatnya sedang mengalami hakisan budaya. Budaya kuning. Sekarang sedang berlaku coca-colonization, budaya hidup popular mengambil sempena jenama minuman popular Amerika, Coca-cola. Dengan ini, budaya hidup berdasarkan isme liberal kapitalis tajaan Amerika bercita-cita untuk melunturkan nilai-nilai tradisi semua bangsa di dunia. Penjajahan pemikiran dan budaya ini akan memberi keuntungan kepada Barat yang menjadi pengeluar utama produk-produk hedonisme ini.”
“Bagaimanakah kita menahannya?”
“Kembali kepada agama. Kita sempurnakan akhlak kita dengan wahyu dan hadis yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, utusan Allah. Amalkan ajaran Islam bermula daripada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ayuh kita tegakkan hukum-hakam Allah bermula dari bidang sekecil-kecilnya, sampailah kepada yang sebesar-besarnya.”
“Ya, tetapi seperti yang saya katakan tadi, ada orang Islam yang lebih teruk perilakunya. Kadar rasuah negara Islam lebih tinggi daripada negara bukan Islam.”
“Maaf, negara umat Islam bukan negara Islam,” saya cuba mengingatkan.
“Ya. Maaf… negara umat Islam. Ini kerana kita orang Islam sendiri tidak berpegang dan mengamalkan ajaran Islam dengan serius. Kita cuma ada benih kebaikan, tetapi tidak menyubur dan menjaganya. Akhirnya, benih itu layu dan hampir mati. “
“Bagi orang bukan Islam?”
“Bagi bukan Islam, kekadang budaya bangsa atau tabiat baik individunya tetap dipelihara melalui kaedah penyuburan rasa cinta kepada nilai-nilai tradisi dan pengamalan disiplin hidup yang tinggi sejak kecil lagi, sama ada di dalam keluarga, sekolah-sekolah, organisasi atau masyarakat. Walaupun tidak sekukuh dan sesempurna kaedah Islam, namun itu lebih baik berbanding tidak ada usaha langsung.”
“Ya, masalah kita umat Islam, kita lepas kedua-duanya. Berpegang kepada ajaran agama pun tidak serius, berpegang kepada nilai tradisi bangsa pun tidak. Jadi benih kebaikan dalam umat Islam yang terbiar begitu sahaja,” ujar saya lagi.
“Jadi kebaikan orang bukan Islam hanya disebabkan kecintaan terhadap budaya mereka yang mampu dipertahankan hingga setakat ini?”
“Ya. Dan kelemahan kita umat Islam kerana budaya bangsa kita telah terhakis dan gagal memanfaatkan prinsip agama untuk membina dan menyuburkan semula budaya yang baik itu.”
“Maksud awak agama Islam itu satu budaya?”
“Tidak. Islam bukan ciptaan manusia. Jadi, ia bukan budaya. Tetapi jika hukum-hakam Islam diamalkan sebagai satu cara hidup, maka  tertegaklah apa yang dikatakan budaya Islam. Contohnya, budaya Islam dalam menghormati tetamu, makan-minum, berpakaian, bergaul dan lain-lain. ”
“Budaya Islam tahan uji?”
“Ya, selagi orang yang mengamalkannya berpegang teguh kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Bukankah budaya itu lahir daripada karakter masyarakat? Manakala karakter pula dilazimkan oleh kelakuan. Dan kelakuan lahir daripada sikap. Sikap dibentuk oleh sistem nilai yang berpunca daripada set minda atau pandangan hidup. Dan pandangan hidup itu lahir daripada keyakinan. Maksudnya, selagi keyakinan kukuh, selagi itulah budaya yang baik itu utuh. Keyakinan dalam ajaran Islam itulah iman atau akidah. Itulah asas dan teras budaya Islam.”
“Jadi budaya Islam kini terhakis kerana lemahnya iman?”
“Ya, lemah iman, lunturlah budaya Islam. Hanya orang beriman mampu menegakkan budaya hidup Islam. Sebab itulah dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 14, Allah menegur orang yang mengaku beriman dengan firman-Nya yang bermaksud: “Katakan kamu belum beriman tetapi katakan kami telah tunduk yakni Islam kerana iman itu belum masuk ke hati kamu.”
“Jadi inilah yang menyebabkan kadangkala bukan Islam lebih baik kelakuannya daripada orang Islam sendiri…” katanya sambil mengangguk-angguk kepala.
“Jika umat Islam berpegang teguh kepada iman, karakter peribadi dan budaya yang terhasil lebih hebat daripada apa yang diamalkan oleh mana-mana bangsa pun di dunia sebelum, semasa dan sesudahnya.”
“Kenapa?”
“Kerana akar budaya kita lebih kukuh. Budaya Islam tertegak bukan kerana prinsip-prinsip luaran seperti keuntungan komersial, fanatik bangsa, kepentingan puak, kemegahan nama atau kuasa, tetapi atas dasar keyakinan kepada Allah dan hari Akhirat. Kita amalkan kebaikan kerana mengharapkan keampunan Allah dan syurga. Itu lebih ikhlas dan jujur. Berbanding kita buat baik kerana mengharapkan keuntungan ekonomi atau kuasa politik!”
“Maksudnya?” dia menyoal pendek.
“Ada orang jujur kerana dengan kejujuran, produknya akan lebih laku. Ada pekerja yang diminta senyum semasa melayan pelanggan kerana itu ada nilai komersial. Perkhidmatannya akan lebih laris. Ada yang menjaga kebajikan rakyat, hanya untuk mendapat undi dan mengekalkan kuasa. Itu tidak sejati. Jika produk tidak laku, perkhidmatan tidak laris, undi tidak bertambah? Bagaimana? Kita berhenti dan tawar hati untuk terus melakukan kebaikan?”
“Saya faham. Saya faham sekarang. Budaya kerja yang baik dan konsisten hanya didorong dari dalam. Bukan hanya soal ganjaran dan hukuman sahaja. Dan perbuatan baik kerana keimanan yang mendalam itu lebih tulus, konsisten, tahan uji,” katanya bersetuju.
“Sebenarnya, pernah muncul generasi Islam yang terbaik hasil didikan iman ini. Hingga kini mereka masih terbaik dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kaum, bangsa dan negara.”
“Siapa? Bagaimana? ”
“Generasi sahabat Rasulullah. Dalam perang Yarmuk misalnya, beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. mengalami luka yang cukup parah. Seorang sahabat yang bernama Ikrimah memberikan air kepada seorang sahabat yang rasa haus dan sakit walaupun dia mengalami rasa yang sama. Namun ketika sahabat itu mahu minum, terdengar suara rintihan dari seorang sahabat lainnya, maka dia mengisyaratkan agar memberikan air tersebut kepada sahabat yang lain. Begitulah, air itu diserah kepada seorang kepada seorang lain kerana merasakan orang lain lebih memerlukan, sehinggalah kesemuanya meninggal dunia kerana mengutamakan saudaranya yang lain.”
“Wah, itu lebih hebat daripada apa yang berlaku di Jepun!”
“Itu hanya tinggal sejarah. Tetapi itu satu fakta penting menunjukkan budaya hidup Islam lebih hebat. Bagaimana Umar Ibnu Aziz memadamkan lampu minyak kerajaan apabila anaknya hendak bercakap soal keluarga bukan soal negara, bagaimana Sayidina Abu Bakar memuntahkan susu yang dibeli daripada sumber yang syubhah. Ah, terlalu banyak…”
“Tapi kita hanya Islam pada nama… tidak pada jiwa.  Iman belum masuk ke hati. Hingga dengan itu tidak menimbulkan keyakinan yang akan merubah pandangan hidup, sistem nilai, sikap, kelakuan, karakter dan personaliti seterusnya budaya umat Islam. Budaya Islam belum ada, budaya Melayu semakin layu… Padahal jika budaya Melayu yang baik disempurnakan oleh faktor iman, maka kita akan berjaya mengatasi mana-mana pun bangsa di dunia seperti yang dibuktikan oleh umat Arab dahulu. Bukankah mereka itu asalnya jahiliah tetapi akhirnya menjadi umat pembina empayar…”
“Jadi tugas kita sekarang memasukkan iman ke dalam hati umat Islam?”
Saya diam. Ya, itulah jalan yang paling benar,walaupun jalan yang paling sukar. Itulah jalan yang paling singkat,walaupun terasa amat berat….teringat ungkapan perjuangan yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu.
Depetik dari : Us Pahrol Juoi

Ahad, 1 Mei 2011

Why companies do not hire fresh graduates???



TOP 5 REASON :
1)Asking for unrealistic salary or benefits
2)Poor command of the English language
3)Choosy about their first job or company
4)Poor character, attitude or personality
5)Poor communication and other basic soft skills

Khamis, 28 April 2011

Kufur itu mempunyai 4 TIANG
TAKABBUR menghalang dari TUNDUK PATUH
HASAD menghalang dari menerima NASIHAT dan TEGURAN
MARAH menghalang KEADILAN
SHAHWAT menghalang diri meluangkan masa untk BERIBADAH

-IBNUQAYYIM AL-JAUZY-

Selasa, 19 April 2011

Jangan Bunuh Hudhud Itu


“Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Apakah dia termasuk di kalangan mereka yang ponteng?” Sulaiman ‘alayhi al-salaam bertanya.
Pemeriksaan hari itu, begitu teliti dilakukannya.
Kerajaannya besar. Bukan setakat kerajaan manusia di Timur dan Barat, malah menakluki segala haiwan hingga ke komuniti Jin.
Namun Sulaiman tidak hilang pemerhatian. Tidak hilang kawalan. Baginda tahu siapa yang ada dan siapa yang tiada.
Ketidak hadiran Hudhud menimbulkan murka Sulaiman.
“Sesungguhnya aku pasti akan menghukum Hudhud itu dengan hukuman yang keras, malah aku tidak teragak-agak untuk menyembelihnya sahaja!” begitu sekali kemarahan Baginda.
Ia menggambarkan prihatian dan tegasnya Sulaiman dalam menjaga kabinet, tenaga kerja dan seluruh jentera kerajaannya. Pemimpin yang tidak meremehkan sesiapa, biar pun kakitangannya itu hanya si burung Hudhud.
“Kecuali jika Hudhud mendatangkan penjelasan yang konkrit!” Sulaiman memberi penegasan.
Tegasnya bukan sampai buta dari pertimbangan. Biar pun murka, ruang penjelasan sentiasa ada.
Kisah ini merupakan petikan firman Allah di dalam al-Quran, Surah al-Naml berkenaan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salaam sebagai pemimpin kerajaannya.
“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir. Burung Hudhud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari Negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya” [Surah al-Naml 27: 20-23]
PERANAN HUDHUD
Kisah di dalam al-Quran bukan bedtime story. Ia datang dengan ‘ibrah yang besar.
Hudhud di dalam kisah ini tidak seharusnya mencerminkan fenomena tasayyub yang boleh berlaku di dalam gerakan Islam. Gejala ‘hilang kawalan’ dan pandai-pandai sendiri dalam melakukan gerak kerja hingga tidak bergerak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam, tidak harus bersandarkan kepada kisah ini.
Hudhud tidak lari daripada tujuan dan disiplin gerak kerja sebuah gerakan. Tetapi apa yang hendak ditonjolkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam ayat ini adalah sifat penting yang mesti wujud di dalam diri amilin gerakan Islam yang diwakili oleh Hudhud tersebut. Sifat yang dimaksudkan itu adalah kepekaan amilin terhadap peluang-peluang yang wujud di sekitarnya, yang mungkin tidak disedari oleh sebuah gerakan yang sudah mempunyai SOP rutinnya.
Sulaiman alayhi al-Salaam yang kekuatan serta kemampuan Baginda menguasai komuniti manusia, haiwan dan jin, tetap diperlihatkan oleh Allah betapa masih ada perkara yang berlaku di luar pengetahuannya. Dengan kemudahan dan kemahiran, maklumat masih sesuatu yang terlalu luas untuk dikuasai.
Inilah intipati penjelasan yang dikemukakan oleh Hudhud.
“Ada benda yang pengetahuan tuan tidak sampai kepadanya” kata Hudhud.
Hudhud tahu apa yang dilakukannya. Sebelum menjelaskan apa yang mahu dijelaskan, Hudhud terlebih dahulu menyediakan Sulaiman untuk menghargai apa yang bakal diterangkan.
“Aku baru pulang dari Negeri Saba’ dengan sebuah Naba’” tegas Hudhud.
Kisah yang dibawa bukan sebarang cerita. Bukan kisah kosong. Ia adalah sebuah Naba’, yakni berita penting yang perlu diketahui oleh Sulaiman.
TELADAN BUAT DA’I DAN MURABBI
Seorang da’i mesti mempunyai inisiatif positif pada mencari kebaikan. Ke mana atau di mana sahaja beliau berada, biar pun atas nama kerja dan urusan peribadi, matanya tidak harus alpa daripada membaca peluang-peluang dakwah di sekitarnya. Ruang-ruang seperti ini sering berada di luar cakupan jentera dakwah, justeru perlu dimanfaatkan mata peninjau yang berada di mana-mana.
Ia perlu berlaku tanpa menunggu arahan khusus.
Hal ini harus timbul daripada kesedaran dakwah yang tidak terikat dengan masa dan kelapangan da’i. Pengurusannya mungkin separuh masa, tetapi komitmennya sepenuh masa.
Gerakan Islam juga perlu akur bahawa bukan semua perkara mampu direncanakannya hatta ada sahaja perkara penting yang tercicir daripada keupayaan dirinya. Sulaiman alayhi al-Salaam yang merupakan seorang Rasul penerima wahyu, dan dikuatkan lagi dengan kemahirannya yang dikurniakan Allah, masih berhajatkan kepada sumbangan jentera kecilnya bernama Hudhud yang bersikap proaktif meninjau sesuatu yang berada di luar lingkungan ketuanya.
MENGHARGAI SUMBANGAN HUDHUD
Saeed Hawwa rahimahullah di dalam siri wacana Jundullah beliau, menegaskan tentang wujudnya dua bentuk penggabungan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam.
Penggabungan yang pertama disebut sebagai al-Intimaa’ al-Tandheemi (الإنتماء التنظيمي). Ia merupakan penggabungan formal mereka yang tidak lagi bertindak sebagai penyokong, tetapi mengambil kemuliaan menjadi pendukung. Kelompok ini mesti berkualiti kerana integriti serta kompetensi mereka memberikan kesan langsung kepada perjalanan dan perkembangan gerakan yang didukungnya.
Penggabungan yang kedua, disebut sebagai al-Intimaa’ al-’Aatifee (الإنتماء العاطفي). Penggabungan yang lebih berbentuk kebersamaan sokongan dan emosi ini, memerlukan kepada keluasan jiwa kepimpinan gerakan Islam untuk melihatnya sebagai sebuah penggabungan. Berbicara secara realistik, penggabungan kedua ini sering lebih besar saiznya berbanding dengan kelompok yang bergabung dengan penggabungan pertama. Atas apa sahaja sebab yang tidak menjadi persoalan di sini, di luar sana ada ramai penyokong atau kelompok yang simpati kepada gerakan Islam. Mereka berada di mana-mana. Berjawatan rendah berjawatan tinggi, malah berada di balik tembok-tembok yang sukar sekali untuk ditembusi oleh sebuah gerakan.
Namun mereka mungkin seperti Hudhud.
Si kecil yang membawa berita besar.
Gerakan Islam mesti menjiwai pembawaan Sulaiman yang amat tegas dalam menekankan disiplin kerja, tetapi cukup rendah jiwa dan diri untuk membuka ruang penjelasan dan pengambilan manfaat hasil tinjaun proaktif si burung Hudhud.
Hari ini, Hudhud itu mungkin orang dalam, mungkin orang luar.
Mereka itu bermaklumat. Resourceful. Mereka membekalkan pelbagai maklumat. Membekalkan statistik. Membekalkan hasil tinjauan. Semuanya untuk mengkayakan Gerakan Islam dengan Naba’di era Perang Maklumat ini.
Hudhud bukan HANYA HUDHUD. Tanpa Hudhud, Kerajaan Sulaiman tidak mencecah Saba’ dan penyatuan Makkah dan Palestin tidak berlaku.
Jangan semata-mata dek sarang Hudhud alamatnya tidak bercawangan seperti cawanganmu atau tidak berkawasan seperti kawasanmu, kamu bunuh Hudhud itu!
Bacaan lanjut:
  1. Seri Taujihat Pekanan Kader PKS Jilid 1
  2. Jundullah Takhteetan oleh Saeed Hawwa

Khamis, 14 April 2011

All the best to all CFS student for your mid examination ^^v

Khamis, 31 Mac 2011

Wanita? Ada apa kelebihan pada insan yang selalu di lable lemah ini?



1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang
jahat.

4. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80
rakaat solat wanita yang tidak hamil.

5. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu
badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang
diberikannya.

6. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam
keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

7. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana
menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20
orang hamba.

8. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat
isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

9. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan
kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal
daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 maalaikat dan bidadari dan
wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan
menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

10. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang
sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan
hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

11. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan oleh
binatang itu dengan doa keberkatan.

12. Wanita yang menguli tepung gandum dengan bismillah", Allah akan
berkatkan rezekinya.

13. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti
meyapu lantai di baitullah.

14. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan
mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.

15. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

16. Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

17. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan
setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

18. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan
dikira sebagai mati syahid.

19. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun
solat.

20. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka
maalaikat-maalaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib
baginya.

21. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah
akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

22. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola
emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola
perak.

23. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki
syurga.

24. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80
tahun ibadat.

Hadis nabi mengenai wanita:
Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang
lebih kuat daripada lelaki.Ketika ditanya kepada Rasulullah akan hal
tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang
yang penyayang tidak akan sia-sia".