ADS 468x60

Selasa, 20 September 2011

Sia-siakah Ramadhan Kita?

Aqidah, ibadah & akhlaq insan menjadi segar sepanjang Ramadhan

Lamanya dah tak post..internet problemas di UIA ni..well, I.ALLAH terus istiqamah dalam meneruskan kerja2 islam.. :)
Actually, Kita bukan tak sedar, tapi menunggu orang lain untuk menyedarkan kita..Madrasah Ramadhan kalau nak kira masih tak sampai sebulan meninggalkan kita..Bayangkan kita di Sekolah Menengah MML/MMP/MP3 etc..dah berapa tahun ditinggalkan..namun nostalgia dan pengalaman still kita boleh ambik sebagai bekalan di hari kemudian..Namun sedihnya pabila teringatkan tarbiyah ramadhan..Ke mana perginya suara-suara mengaji Al-Quran di masjid? Solat berjemaah di masjid?(Kalau subuh confirm ramai sebab baru lepas sahur)..Sorry to say,kita gagal..gagal dan masih gagal..Sia-siakah Ramadhan kita? Kalau sia-sia maka ada kemungkinan kita tak berjumpa lagi dengan Ramadhan akan datang disebabkan tuhan telah beri kita banyak peluang..tapi buat tak tahu je..Masih ada masa untuk berubah..Tingkatkan amalan dan Muhasabah..
Ramai para ulama menggelar bulan Ramadhan sebagai bulan tarbiyyah.  Di dalamnya penuh dengan rahmat & keampunan ALLAH `Azza wa Jalla.  Ditambah pula makhluq ALLAH yang bernama Syaitan telah digari dan dibelenggu sepanjang bulan yang mulia ini.  Disebabkan oleh musuh utama manusia iaitu Syaitan itu telah dikeluarkan dari diari hidup manusia buat sementara waktu, maka manusia bisa beroleh kekuatan tambahan dalam membentuk diri untuk meletak bekalan taqwa ke dalam dada masing-masing.
Betapa ramainya manusia yang tiba-tiba menjadi dekat dengan ALLAH dan jinak dengan masjid apabila Ramadhan datang menziarahi hidup manusia.  Inilah barakah yang terdapat di bulan Ramadhan yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

Aqidah

Dengan hadirnya Ramadhan, jiwa insan segera dekat dengan Rabbnya.  Tiba-tiba insan menjadi sedar bahawa Rabbnya sedang memerhatikannya.  DIA sedang melihatnya.  Kesyahduan Iman yang terbit dari lubuk hati tiba-tiba terasa.  Segar kerana perasaan bertuhan mula terasa.
Keikhlasan sebagai hamba mula terbentuk dari tarbiyah Ramadhan.  Setiap langkah dan nafasnya mula berlatih mengingati Tuhan.  Rukun-rukun Iman mula mengukuh terbina di dalam hati.  Betapa Ramadhan memang menjadi medan tarbiyyah memasak asas aqidah insan kepada Tuhannya.
Bukan itu sahaja, malah keimanan terhadap Nabi dengan mengamalkan sunnah-sunnah Nabi turut mekar pada bulan yang mulia ini.  Di sana sini para penceramah mengingatkan hadirin masjid dengan hadith-hadith akan kelebihan Ramadhan.  Walaupun masih terdapat para ustadz yang tanpa mereka sedari telah menyampaikan hadith-hadith dhaif, malah palsu, namun senario manusia berduyun-duyun mengambil fadhilat-fadhilat tersebut menunjukkan betapa suburnya kepercayaan mereka kepada hadith-hadith Nabi yang selama ini tandus tidak bersiram.  Nah, Ramadhan memang medan membaja insan dengan aqidah beragama.  Semua elemen rukun Iman mula dibaiki sepanjang tempoh ini.

Ibadah

Segala pujian bagi ALLAH yang menciptakan bulan ini yang darinya membuatkan manusia kuat ibadah kepada ALLAH.  Peluang amalan berganda sentiasa menjadi fokus hambaNYA yang beribadah.  DIA lah Ilah yang segala ibadah semuanya tertumpu kepadaNYA.
Yang jarang ke masjid, mula ke masjid.  Yang tidak menutup aurat, mula menutup aurat.  Yang selama ini menyimpan al-Quran di tempat tinggi lama tidak membukanya, mula membuka dan membacanya.  Yang jarang ke majlis ilmu, mula berjinak duduk menghirup udara ‘taman syurga’ itu.  Yang malas solat, mula jaga solat kerana risau puasanya tidak diterima.  Pendek kata, kita lihat ramai manusia menjadi kuat beribadah kepada ALLAH apabila mulanya 1 Ramadhan.
Inilah keberkatan Ramadhan.  Hati manusia menjadi jinak dengan agama.  Semuanya berebut-rebut ganjaran yang berganda-ganda.  Betapa Ramadhan meniup semangat insan untuk beribadah kepada ALLAH.

Akhlaq

Puasa Ramadhan menyebabkan badan manusia lemah.  Bukan sahaja badan lemah, malah nafsu juga lemah.  Ditambah pula dengan hadith Nabi sallAllahu `alaihi wasallam mengatakan bahawa ALLAH tidak berhajat dengan puasa seseorang jika lidahnya tidak dijaga.  Di dalam hadith qudsi juga, ALLAH Ta`ala juga telah mengatakan bahawa puasa ialah sebagai perisai yang boleh menjadi asbab yang ampuh untuk manusia menjaga akhlaqnya.
Atas faktor-faktor di atas, maka Ramadhan tentunya bisa menjadi medan kursus yang efektif untuk mentarbiyyah manusia dalam bab akhlaq.  Kita sedia maklum bahawa lidahlah selalu menjadi faktor manusia bergaduh dan bertelingkah.  Justeru, Ramadhan dilihat boleh menarik perhatian manusia agar berhati-hati dalam bab menggunakan lidah untuk bercakap.
Malah, ALLAH `Azza wa Jalla menyarankan manusia apabila diajak bergaduh atau bertengkar, jawablah kepada orang itu “sesungguhnya saya sedang berpuasa”.  Nah, puasa bisa menjadi medan ampuh manusia mendidik nafsunya agar bersabar dan jangan cepat melatah dengan perangai manusia yang terburu-buru.
Bukan sahaja lidah, malah lain-lain pancaindera seperti mata, telinga, tangan dan kaki turut terdorong menjadi lebih baik di bulan yang mulia ini.  Kerana nafsu sudah lemah disebabkan berpuasa.  Ditambah pula kerisauan pahala puasa menjadi luput akibat menggunakan pancaindera di jalan yang salah.
Malah hati juga semakin lembut dan mula berfikir tentang nasib orang lain yang lebih susah.  Hati mula sensitif, simpati dan empati terhadap orang lain.  Ini kerana nafsu yang selama ini beraja di dalam hati sudah menjadi lemah dan hati yang sejahtera mula segar dengan keimanan kepada ALLAH.  Apabila hati mula baik, maka lain-lain pancaindera pun akan turut menjadi baik.  Kerana hati itu raja.
Maha Suci ALLAH.  Betapa Ramadhan sangat memberi kesan kepada manusia dalam mendidik akhlaq.
Ya, Ramadhan memang medan tarbiyyah.  Ia medan kursus untuk menyegarkan kembali aqidah, ibadah dan akhlaq.  Agar semuanya lurus di atas jalan ALLAH.  Namun, berapa ramai yang betul-betul berpatisipasi di dalam kursus sebulan ini lantas melahirkan buah tarbiyyah yang cantik?  Tidak ramai.  Moga-moga saya dan kalian tergolong di dalam golongan hambaNYA yang berjaya melalui Ramadhan dengan diijazahkan ketaqwaan di dalam diri, amin.

Selasa, 6 September 2011

Aisyah Ialah Pemberontak Saidina Ali..?

Tarikh Islam tingkatan 4.. itulah yang geng2 amal uia pj ni dh belaja kat sekolah dulu..ingat tak? Berikut adalah cerita ulang tayang tapi versi lain sikit..

Jahat sangatkah Aisyah sampai sanggup memberontak??!! Sesama orang Islam pun bergaduh sampai pertumpahan darah ke?
Muhasabah balik...

Aisyah memberontak kepada Ali?

Antara sejarah versi Syi`ah yang masyhur adalah Perang Jamal merupakan pemberontakan yang diketuai oleh Aisyah ke atas Ali bin Thalib. Kenyataan ini memerlukan penelitian semula: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah?


Perang Jamal bermula apabila Aisyah, Thalhah dan al-Zubair radhiallahu ‘anhum serta orang-orang yang bersama mereka pergi ke Basrah selepas pengangkatan Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menjadi khalifah umat Islam. Semua ini berlaku selepas pembunuhan Amirul Mukminin Usman bin Affan radhiallahu ‘anh. Melihatkan pemergian Aisyah dan pasukannya, Amirul Mukminin Ali turut pergi ke Basrah bersama pasukannya. Apabila menghampiri Basrah, kedua-dua pasukan ini telah bertembung dan dengan itu berlakulah satu peperangan yang dinamakan Perang Jamal. Ia dinamakan sedemikian kerana Aisyah berada di atas unta (Jamal) ketika peperangan tersebut.

Dalam peristiwa ini, timbul dua persoalan. Yang pertama, kenapakah Aisyah dan pasukannya bergerak ke Basrah? Al-Qadhi Ibn al-Arabi rahimahullah (543H) menerangkan bahawa orang ramai mengemukakan beberapa pendapat. Ada yang berkata mereka keluar kerana ingin melucutkan Ali daripada jawatan khalifah. Ada yang berkata mereka benci kepada Ali. Ada yang berkata mereka ingin mencari para pembunuh Usman. Ada yang berkata mereka keluar untuk menyatu-padukan semula umat Islam. Di antara semua pendapat ini, yang benar adalah yang terakhir. Al-Qadhi Ibn al-Arabi menegaskan:

“Mungkin mereka keluar demi keseluruhan umat Islam, mengumpulkan dan menyatu-padukan mereka kepada undang-undang yang satu (Islam) agar tidak berlaku kebingungan yang akan mengakibatkan peperangan. Dan inilah pendapat yang benar, tidak yang lainnya.” [al-`Awashim min al-Qawashim fi Tahqiq Mawaqif al-Shahabah ba’da Wafati al-Nabi (diteliti oleh Muhib al-Din al-Khatib; Dar al-Jil, Beirut, 1994), ms. 155]

Sebelum itu hal yang sama ditegaskan oleh al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H):

“Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin (Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu ‘anhum berserta orang-orang yang bersama mereka (ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain dan mereka tidak memperbaharui bai`ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.

Kebenaran yang sebenar yang tidak memiliki apa-apa permasalahan padanya adalah mereka tidak pergi ke Basrah untuk memerangi Ali atau menentangnya atau mencabut bai`ah daripadanya ……yang benar mereka berangkat ke Basrah tidak lain untuk menutup (daripada berlakunya) perpecahan yang baru dalam Islam disebabkan peristiwa pembunuhan yang zalim ke atas Amirul Mukminin Usman radhiallahu ‘anh.” [al-Fishal fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal (diteliti oleh Ahmad Syams al-Din; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 3, ms. 83]

Berdasarkan penerangan di atas, jelas kepada kita bahawa dalam pemergiannya ke Basrah, Aisyah radhiallahu ‘anha tidak memiliki tujuan berperang atau memberontak terhadap Ali radhiallahu ‘anh. Ini membawa kita ke persoalan kedua, jika demikian kenapakah kedua-dua pasukan ini bertembung dan berperang?

Kenapakah berlakunya Perang Jamal?

Al-Imam Ibn Hazm melanjutkan, pasukan Ali turut ke Basrah bukan untuk memerangi pasukan Aisyah tetapi untuk bersatu dengan mereka, menguatkan mereka dan menyatukan umat Islam dalam menghadapi peristiwa pembunuhan Usman. [al-Fishal, jld. 3, ms. 83]

Akan tetapi pada waktu yang sama wujud juga orang-orang yang sebelum itu terlibat dalam pembunuhan Usman. Mereka menyamar diri dengan berselindung di kalangan umat Islam. Apabila melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, mereka menyalakan api fitnah kononnya pemergian tersebut adalah kerana perpecahan daripada kekhalifahan Ali. Namun apabila para pembunuh Usman mendapat tahu bahawa pasukan Aisyah dan Ali telah bersatu, mereka menjadi bimbang lagi cemas. Ini kerana selagi mana umat Islam berpecah, selagi itulah para pembunuh Usman terselamat daripada apa-apa tindakan. Sebaliknya jika umat Islam bersatu, pasti kesatuan tersebut akan memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh Usman.

Maka para pembunuh Usman merancang untuk melagakan kedua-dua pasukan tersebut. Pada awal pagi ketika hari masih gelap, mereka menyerang pasukan Aisyah. Dalam suasana terperanjat daripada tidur yang lena, pasukan Aisyah menyangka bahawa pasukan Ali telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri (self defense), mereka menyerang balas ke atas pasukan Ali. Pasukan Ali pula menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang mereka. Dengan itu mereka menyerang balas, juga sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri. Tanpa disangka-sangka, bermulalah Perang Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada asalnya tidak memiliki apa-apa tujuan berperang.

Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik yang mengakibatkan bermulanya Perang Jamal:

“Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Usman melalui malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar, jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang. Setiap golongan bergegas menuju kaumnya untuk melindungi mereka. Orang-orang (pasukan Aisyah) bangun dari tidur dan terus mengangkat senjata. Mereka berkata: “Penduduk Kufah (pasukan Ali) menyerbu kita pada malam hari, mereka mengkhianati kita!”

Mereka (pasukan Aisyah) mengira bahawa para penyerang itu berasal dari pasukan Ali. Suasana hura hara tersebut sampai ke pengetahuan Ali, lalu beliau bertanya: “Apa yang terjadi kepada orang ramai?” Mereka menjawab: “Penduduk Basrah (pasukan Aisyah) menyerang kita!”

Maka kedua-dua pihak mengangkat senjata masing-masing, mengenakan baju perang dan menaiki kuda masing-masing. Tidak ada seorang jua yang menyedari apa yang sebenarnya terjadi.” [al-Bidayah wa al-Nihayah (diteliti oleh Ahmad `Abd al-Wahhab; Dar al-Hadith, Kaherah, 1997), jld. 7, ms. 227]

Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu perenggan:

“Mereka (para pembunuh Usman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka menyerang kembali untuk mempertahankan diri (self defense). Seterusnya Ali pula menyangka bahawa mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka (kedua-dua pihak).

Manakala Aisyah radhiallahu ‘anha hanya berada di atas pelana untanya, beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]

Demikianlah penjelasan para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah berkenaan Perang Jamal. Kembali kepada persoalan asal pada permulaan artikel ini: Benarkah Perang Jamal adalah satu gerakan pemberontakan ke atas Ali yang diketuai oleh Aisyah? Penjelasan Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah menjadi jawapan kepada persoalan asas ini, sekali gus sebagai penutup kepada artikel ini:


Kepahlawanan Islam dipersoal? Islam sedang dilanda fitnah yang besar.

“Sesungguhnya Aisyah tidak diperangi dan tidak pergi untuk berperang. Sesungguhnya beliau pergi hanya untuk kebaikan umat Islam. Beliau menjangkakan pada pemergiannya terdapat kemaslahatan kepada umat Islam. Kemudian sesudah itu jelas baginya bahawa meninggalkan pemergian tersebut adalah lebih tepat. Maka setelah itu apabila sahaja beliau mengingat kembali pemergiannya itu, beliau menangis sehingga membasahi kain tudungnya.” [Minhaj al-Sunnah, jld. 4, ms. 316] 

Banyak lagi sumber lain..boleh kaji lagi I.ALLAH..tapi adakah sekarang Maahad masih mengekalkan silibus ini? ada banyak lagi yang perlu diperjelas kembali..terutama subjek tarikh Islam..ini salah satu sumber internet lam blog..terima kasih atas isi yang dikongsi..


To be continued..